Baju merah penyokong PM Yingluck sedia pertahan demokrasi

KUMPULAN Baju Merah yang menyokong Perdana Menteri Yingluck Shinawatra semalam menyatakan, mereka akan keluar ke jalan-jalan raya untuk melindungi kerajaannya daripada penunjuk perasaan yang memaksa beliau untuk mengadakan pilihan raya awal.

Kenyataan tersebut dipercayai akan memanjangkan konfrontasi di Thailand.

Amaran kumpulan Baju Merah itu turut meningkatkan risiko keganasan menjelang bantahan oleh penunjuk perasaan antikerajaan yang mahu menamatkan pengaruh politik abang Yingluck, bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra.

Thaksin yang dianggap sebagai wira oleh penduduk di utara dan timur laut Thailand telah digulingkan oleh tentera pada tahun 2006.

Sebelum ini, ketua penunjuk perasaan, Suthep Thaugsuban tidak mempedulikan keputusan Yingluck untuk mengadakan pilihan raya umum lebih awal pada 2 Februari depan.

Beliau sebaliknya mahu Thailand diperintah oleh ahli Majlis Rakyat yang dilantik dan bukan melalui proses pilihan raya.

Usaha Suthep bakal mencetuskan konflik dengan kumpulan Baju Merah yang menyokong Yingluck.

Kumpulan Baju Merah atau nama rasminya, Barisan Bersatu Menentang Pemerintahan Diktator(UDD) mungkin berhimpun untuk melindungi kerajaan.

"Sudah menjadi tanggungjawab UDD untuk memanggil anggota Baju Merah dan mereka yang mencintai demokrasi serta tidak bersetuju dengan langkah Suthep untuk berhimpun," kata seorang ketua Baju Merah, Jatuporn Promphan.

Suthep mendapat sokongan golongan minoriti yang menyokong institusi monarki di sini selain parti pembangkang, Parti Demokrat yang gagal memenangi pilihan raya sejak tahun 1992.

Ditanya bila mereka akan mengadakan bantahan jalanan itu, Jatuporn menjawab: "Apabila berlaku huru- hara atau apabila pihak Suthep menggunakan kaedah kekerasan untuk berkuasa."

Sebelum ini, Suthep memberi tempoh 24 jam kepada Yingluck untuk meletak jawatan sejak Isnin lalu selepas Perdana Menteri berkenaan mengumumkan untuk mengadakan pilihan raya umum pada 2 Februari depan.

Setelah tempoh tersebut tamat malam kelmarin, Suthep meminta polis supaya menangkap Yingluck.

"Saya mahu Yingluck ditangkap kerana khianat ekoran beliau gagal memenuhi tuntutan kami," kata Suthep kepada penyokongnya yang masih berkampung di luar Rumah Kerajaan di sini — Reuters


Post a Comment

Previous Post Next Post