Hanya emas yang dicari oleh skuad pemanah negara

BERDASARKAN pencapaian pingat, tidak sukar untuk dinafikan bahawa 'cuaca suram' mewarnai kem memanah negara sepanjang musim ini.

Selepas Sukan Olimpik London 2012, sasaran pemanah negara seakan semakin jauh tersasar tidak kira dalam acara individu mahu pun berpasukan.

Biarpun begitu, ketua jurulatih, Lee Jae-hyung berkeyakinan tinggi, panahan skuad negara akan kembali tepat pada Sukan SEA di Myanmar yang membuka tirai secara rasmi pada 11 hingga 22 Disember ini.

Jelas pengendali dari Korea Selatan itu, catatan buruk pada Kejohanan Memanah Dunia di Ankara, Turki dan Kejohanan Asia di Taiwan sudah lama dilupakan malah ia akan menjadi medan pencetus semangat ketika beraksi di Myanmar nanti.

Meletakkan pakar recurve dan juga Olimpian negara, Khairul Anuar Mohamad sebagai sandaran utama meraih emas dalam acara individu, Jae-hyung yakin pasukan memanah negara mampu mempertahankan dua emas yang diperolehi di Palembang, Indonesia dua tahun lalu.

"Kita sudah lama tutup buku mengenai kekalahan di Taiwan walaupun skuad kita adalah juara bertahan. Di Myanmar, cerita baharu serta lapangan baharu.

"Saya tahu kemampuan anak-anak didik saya dan yakin mereka akan membawa pulang sekurang-kurangnya dua emas dalam acara recurve.

"Sejak Sukan SEA di Korat 2007, kita tidak pernah gagal dengan dua emas dan ia akan berterusan," jelas Jae-hyung

Mengakui Thailand adalah cabaran paling besar dalam acara recurve lelaki, Jae-hyung tidak mahu memandang rendah dengan kemampuan dengan pasukan lain.

"Setiap pasukan seperti Indonesia, Myanmar atau Singapura ada elemen kejutan tersendiri dan kita faham, pada akhirnya, nasib akan menjadi penentu.

"Pemanah kita, tidak kira lelaki atau wanita, telah bekerja keras dengan menjalani latihan intensif. Bukan itu saja, sesi fisioterapi dan psikologi yang disertai mereka, banyak membantu latihan mereka.

"Cuma sebelum berlepas ke Myanmar pada 10 Disember nanti, mereka perlu belajar untuk kekalkan tahap konsentrasi kerana hanya itu masalah yang akan menjadi penghalang kepada buruan emas di Myanmar nanti," ulas Jae-hyung.

Sementara itu, pemanah wanita tidak ketinggalan untuk memastikan acara memanah mencipta sejarah sebagai lubuk emas pada temasya kali ini.

Pertama kali bakal berentap di Sukan SEA, Farah Amalina Azhar menganggap penyertaannya di Myanmar akan memberi peluang untuknya membuktikan kemampuan di arena antarabangsa.

"Ia langkah pertama saya sejak menyertai skuad elit sejak awal tahun ini. Walaupun sebelum ini saya ada menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa, memanah di Sukan SEA tidak sama.

"Ia acara yang disertai pemanah terbaik dari setiap negara malah ada yang pernah menyertai Olimpik. Jadi, teknik memanah, tahap psikologi dan stamina, sangat berbeza," kata pemanah dari Kedah itu.

Meskipun acara wanita tidak diletakkan sebarang sasaran pingat, Farah Amalina nekad merealisasikan sasaran Jae-hyung untuk melangkah ke pusingan akhir.

"Kami hanya perlu melepasi saingan Indonesia kerana mereka adalah pencabar terdekat kami dalam acara recurve wanita.

"Untuk menyaingi prestasi mereka, saya perlu bekerja keras dan memastikan ia kekal konsisten. Hanya dua perkara tersebut yang akan membantu saya dan rakan lain melangkah ke saingan akhir," katanya.

Bukan sahaja berdepan saingan sengit dari Indonesia, kekangan waktu menjalani latihan turut menjadi cabaran terbesar buat pemanah wanita negara.

"Kecuali saya, pemanah wanita lain bergelut dengan peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan peperiksaan akhir semester.

"Untuk berlatih secara berpasukan, ia agak sukar untuk dilakukan sehinggalah 5 Disember lalu di mana komitmen terhadap pelajaran ketika itu telah berakhir.

"Bagaimanapun, saya sangat kagum dengan rakan sepasukan tersebut. Walaupun bergelut dengan SPM atau peperiksaan akhir semester, mereka tetap datang berlatih jika ada kesempatan," jelas Farah Amalina.

Jae-hyung sendiri mengakui berbanding pasukan lelaki, skuad memanah wanita sedang bergelut dengan masa yang singkat dalam menjalani latihan serta persediaan yang lain.

"Walaupun tahu kemampuan mereka, saya memilih untuk lebih realistik dan kerana itu, saya hanya mensasarkan pusingan akhir.

"Kami lihat peluang untuk Sunantra Suchat mencipta kejutan dalam acara individu sangat besar. Ini berdasarkan pencapaiannya pada sesi ujian pra Sukan SEA pada Februari lalu di mana dia tewas kepada pemanah Indonesia pada peringkat akhir," jelas Jae-hyung.

Post a Comment

Previous Post Next Post