Isu Syiah — Mat Sabu dicabar supaya ambil tindakan undang²

TIMBALAN Presiden PAS Mohamad Sabu diingatkan untuk berhenti berdolak-dalik dan harus mengambil tindakan undang-undang sekiranya tuduhan bahawa beliau mengamalkan fahaman Syiah adalah tidak benar.

Demikian menurut Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang menyatakan Timbalan Presiden PAS itu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu harus membersihkan dirinya dari tuduhan tersebut.

"Sebagai seorang pemimpin jawatan tertinggi dalam PAS, tindakan beliau itu mencemar nama baik parti itu sendiri. Kalau dia yakin dan betul-betul tidak mengamalkan Syiah, dia kena ambil tindakan," kata Puad apabila dihubungi hari ini.

Menurutnya lagi, tindakan beliau yang berdolak-dalik tanpa mengambil sebarang tindakan menunjukkan bahawa beliau tidak berani.

"Dari sudut itu sahaja nampak dia tak berani dan tidak tegas sedangkan kita kenali Mat Sabu sebagai seorang yang berani dan tegas dalam tindakannya," kata beliau lagi.

Tambahnya lagi, PAS sendiri harus melakukan siasatan menyeluruh berikutan pendedahan ini untuk membuktikan bahawa mereka turut memerangi fahaman Syiah.

"Pemimpin PAS harus ambil tindakan dan menyiasat. Kalau betul Mat Sabu amalkan fahaman Syiah, PAS kena ambil tindakan tegas.

"Lainlah kalau PAS rasa Syiah tak salah jadi mereka tak perlu ambil tindakan," katanya lagi.

Tambah Puad lagi, ini merupakan antara sebab mengapa Umno meragui ajaran Islam yang dibawa oleh PAS.

"Kalau dia anggap Syiah itu salah, kenalah ambil tindakan. Jika tidak nanti orang ramai akan ambil ringan mengenai isu ini dan akan terpengaruh dengan fahaman Syiah kerana tiada tindakan yang diambil," tegas beliau.

Semalam, Mat Sabu berkata beliau tidak pasti sama ada Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaksudkan dirinya mengamalkan fahaman Syiah kerana Timbalan Presiden PAS bukan jawatan nombor dua dalam parti Islam itu, sebaliknya Timbalan Mursyidul Am PAS yang disandang oleh Tuan Guru Datuk Harun Din.

Sabtu lalu dalam Perhimpunan Umno 2013, Zahid mendedahkan bahawa pemimin kedua tertinggi PAS mengamalkan fahaman Syiah, tanpa menyebut nama Mat Sabu — FMT

Post a Comment

Previous Post Next Post