Isu Syiah, PAS jangan pilih bulu — Ketua Umno Ledang

PAS digesa supaya tidak bersifat memilih bulu atau cuba melindungi anggota parti berfahaman Syiah yang jelas bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini.

Ketua UMNO bahagian Ledang Datuk Ir. Hamim Samuri menegaskan, sebaliknya mereka perlu bersama-sama membanteras ajaran itu tanpa mengira fahaman politik.

Anggota Pas yang mengikuti fahaman itu perlu didedahkan dan tidak menyembunyikan perkara itu hanya kerana bimbang pengaruh parti itu terjejas, katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Khatan Asnaf Parlimen Ledang di Masjid Jamek Tangkak, di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, lebih membimbangkan fahaman itu juga turut diikuti pemimpin tertinggi parti berkenaan dan perkembangan itu amat berbahaya.    

Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang meminta kerajaan menangkap ketua dan pengikut Syiah di negara ini jika benar-benar serius mahu membasmi fahaman berkenaan.

Hamim berkata, semua pihak perlu bekerjasama tanpa mengira fahaman politik untuk membasmi fahaman itu kerana sukar menangkap ketua dan pengikut Syiah kerana mereka sangat licik dan berselindung atas nama agama.

"Ajaran Syiah boleh dibanteras jika mendapat kerjasama daripada orang ramai," katanya sambil berharap bekas menteri besar Kelantan itu bersama-sama kerajaan membantu menyekat penularan fahaman itu.

Beliau turut menyatakan keyakinan dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Isnin lepas berhubung beberapa bukti pemimpin Pas terlibat fahaman itu.

Hamim berkata, semua pihak perlu akur dengan keputusan yang sudah ditetapkan kerajaan bahawa fahaman Syiah menyimpang daripada ajaran Islam sebenar bagi memastikan akidah umat Islam tidak terpesong — Sinar Harian

Post a Comment

Previous Post Next Post