KDN fitnah, saya akan ambil tindakan undang² — Mat Sabu

,

EdisiRakyat.com

TIMBALAN Presiden PAS Mohamad Sabu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berikutan dakwaan menuduhnya mengamalkan ajaran Syiah lapor Portal berita PAS, Harakahdaily. 


Menurut portal itu lagi, tindakan serupa juga kata Mohammad akan diambil terhadap Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi yang didakwa mengemukakan 'bukti' yang memfitnahnya.


Menurut Mohamad, beliau melihat bukti yang didedahkan KDN hari ini sebagai fitnah terhadapnya dan merupakan lanjutan dari kenyataan Ahmad Zahid dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.


"Kenyataan Naib Presiden Umno, Zahid Hamidi memang mempunyai rekod tidak bertanggungjawab.


"Pernah beliau mengeluarkan kenyataan di Melaka hal memerangi jenayah seperti 'tembak dulu, baru siasat'," katanya dalam satu kenyataan.


Tambah beliau lagi, kenyataan berulang kali Ahmad Zahid selaku Menteri Dalam Negeri itu juga memberi imej buruk kepada kerajaan dan negara Malaysia.


"Saya telah menghubungi peguam untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap fitnah Naib Presiden Umno dan KSU Kementerian Dalam Negeri terhadap saya," katanya yang kini sedang berprogram di Langkawi.


Beliau berkata demikian sebagai respon awal terhadap pendedahan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abdul Rahim yang mengemukakan 10 bukti kononya Mohammad terlibat dengan ajaran Syiah.


Antara lain, Abdul Rahim mendakwa Mohamad pernah menggesa supaya umat Islam mencontohi kepimpinan Islam berdasarkan cara Imam Khomeini.


Dakwa beliau lagi, Mohamad juga secara terang-terangan turut memuji Pemimpin Syiah Lubnan, Sayyid Hassan Nasrullah dan mengaku beliau serta isterinya bertemu dengan pemimpin Syiah berkenaan lebih daripada empat kali — Harakahdaily