Keberkesanan PLKN perlu dikaji dari masa ke semasa

,

EdisiRakyat.com

KAJIAN secara menyeluruh terhadap keberkesanan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi memberi panduan kepada Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) mengenai aspek tertentu yang harus diperbaiki, kata Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abd Rahim Bakri.
   
Beliau berkata kajian itu mampu melihat sejauh mana PLKN mampu membina jati diri pelatih, membentuk sifat sukarelawan pelatih atau mampu membentuk generasi yang patriotik dan bersatu padu dalam masyarakat berbilang kaum.
   
"Kajian ini diharapkan bukan sahaja melibatkan bekas pelatih, tetapi juga ibu bapa, masyarakat, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan bukan kerajaan, badan-badan bukan kerajaan yang mempunyai kaitan secara langsung mahupun tidak langsung dengan bekas pelatih," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Siri Manual Kenegaraan PLKN di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.
   
Kajian secara komprehensif itu boleh menjadi tanda aras untuk proses memperkasakan PLKN, katanya.
   
Abd Rahim berkata sebelum ini kajian terhadap keberkesanan PLKN dilakukan pada 2009 bersama Universiti Kebangsaan Malaysia melibatkan 62,000 sampel yang dalam kajian tersebut mendapati bahawa tahap kepuasan dan keberkesanan program itu berada pada taraf cemerlang.

Beliau berkata pelbagai pihak mencadangkan agar modul latihan program ditambah baik supaya ia mencapai matlamat yang dikehendaki.
   
"Ada juga anggota parlimen dari pihak tertentu mencadangkan agar kita (JLKN) mencontohi modul khidmat negara seperti negara Singapura, Korea Selatan dan Taiwan, namun kita perlu melihat sama ada perkara tersebut (modul) sesuai di negara ini atau tidak," katanya.
   
Selain itu, beliau turut mengesyorkan supaya JLKN mengadakan Program Khidmat Bakti yang sama dengan inspirasi Program Khidmat Siswa yang sering dijalankan oleh Persatuan Mahasiswa Universiti.
   
"Untuk menjayakan program itu, JKLN boleh mendapat khidmat, idea dan kepakaran serta berkongsi pengalaman bersama UPSI. Sebagai contoh merancang aktiviti agar pelatih boleh tinggal sehari dua bersama keluarga angkat yang dengan itu pelatih akan bersama-sama menjalankan aktiviti masyarakat seperti gotong-royong atau mengikut keluarga angkat mempelajari budaya setempat," katanya.
   
Beliau menyeru agar pihak pengurusan UPSI dan JLKN membincangkan beberapa agenda yang boleh difikirkan demi melahirkan generasi masa depan yang lebih inovatif, berdaya saing dalam masa yang sama mempunyai semangat patriotik — Bernama