Rusuhan di Singapura — Polis siasat ribuan pekerja asing

,

EdisiRakyat.com
POLIS Singapura menyoal siasat hampir 4,000 pekerja asing dalam satu operasi besar-besaran susulan rusuhan pertama di pulau ini dalam tempoh lebih 40 tahun, kata beberapa pegawai semalam.

Dalam operasi itu, polis menahan tiga lagi warga India kerana merusuh selain 24 rakyat negara berkenaan yang didakwa di mahkamah kerana kesalahan sama kelmarin.
Ketiga-tiga suspek itu akan didakwa kemudian. Mereka boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan disebat jika didapati bersalah.
Seorang jurucakap polis memberitahu agensi berita AFP bahawa setakat ini, seramai 176 lelaki telah dibawa ke sebuah kompleks polis untuk diambil keterangan.
Namun, jurucakap berkenaan tidak mendedahkan kewarganegaraan mereka.
Dalam perkembangan berkaitan kelmarin, empat lelaki dibebaskan selepas mereka didapati tidak terlibat dalam rusuhan itu manakala seorang lagi lelaki dibebaskan dengan ikat jamin.
Rusuhan sejam pada malam minggu lalu tercetus apabila seorang buruh binaan warga India maut dilanggar sebuah bas persendirian di daerah Little India.
Sebanyak 39 anggota polis dan petugas pertahanan awam cedera dalam kekacauan itu.
Perusuh turut merosakkan atau membakar sebanyak 25 buah kenderaan termasuk 16 kereta polis.
Seramai 400 imigran Asia Selatan berkenaan dipercayai bertindak ganas dalam insiden tersebut.
Sementara itu, pemandu bas yang melanggar mati buruh binaan berkenaan, Sakthivel Kumaravelu, 33, dibebaskan dengan ikat jamin selepas didakwa memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.
Beberapa aktivis turut mendesak pihak berkuasa supaya menyiasat sama ada keganasan hujung minggu lalu berpunca daripada rasa tidak puas hat pekerja asing yang dibayar gaji rendah.
Mengulas mengenai rusuhan tersebut, Menteri Dalam Negeri, Teo Chee Hean berkata, polis kini meningkatkan kehadiran mereka di asrama-asrama pekerja asing dan beberapa lokasi perkumpulan mereka di sini.
"Siasatan akan diteruskan supaya mereka yang melakukan jenayah ini dapat ditangani dengan tegas dan adil berasaskan undang-undang negara," kata Teo yang juga Timbalan Perdana Menteri Singapura kelmarin.
Pulau kecil yang mempunyai 5.4 juta penduduk ini banyak bergantung kepada pekerja asing dengan buruh yang kebanyakannya dari India mendominasi beberapa sektor termasuk pembinaan.
Sehingga kini terdapat hampir 700,000 warga asing yang memiliki permit kerja di pulau ini — AFP