Anwar Ibrahim akan umum diri tanding DUN Kajang?

,

EdisiRakyat.com


KEMELUT jawatan Menteri Besar Selangor dijangka bertambah hangat apabila Dato' Seri Anwar Ibrahim dijangka membuat pengumuman untuk bertanding di kerusi DUN Kajang dalam satu sidang media pada jam 11 pagi ini.

Sidang media yang akan berlangsung di Ibu Pejabat PKR itu diadakan selepas pertemuan Anwar-Azmin dan mesyuarat khas Biro Politik pagi ini untuk membincangkan isu berkenaan.

MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim juga akan turut sama hadir buat julung kalinya ke Mesyuarat khas Biro Politik jam 10 pagi ini bersama Pengarah Strategi, YB Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung parti itu, Saifuddin Nasution.

Pertemuan Anwar-Azmin yang berlangsung pada jam 9 pagi di Pejabat Ketua Umum PKR itu bertujuan untuk meredakan desakan PKR Selangor yang bertentangan dengan keputusan uniliteral Anwar. 

Menurut sumber, Anwar dijangka akan memaklumkan kepada Azmin berhubung sokongan PAS dan DAP yang didakwa telah diperolehi bagi membolehkan beliau sendiri bertanding dan merebut jawatan MB Selangor yang dikosongkan Khalid.

Azmin selaku Pengerusi PKR Negeri dikatakan tidak memberi persetujuan sebelumnya untuk mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri PKR di Selangor dikosongkan. 

Dari sumber lain, Saifuddin dan Rafizi juga diarahkan sendiri oleh Anwar sebelum ini bagi bertemu dengan pimpinan PAS dan DAP bagi menyatakan hasrat Anwar untuk mengambil kedudukan sebagai MB.

Sumber itu mendakwa, Saifuddin secara bersendirian membuat pertemuan dengan beberapa pimpinan PAS Selangor termasuk Pesuruhjaya parti itu, YB Iskandar Samad dan YB Presiden PAS. 

Wakil yang membawa hasrat Anwar juga dikatakan telah bertemu dengan pimpinan tertinggi DAP bagi mendapat persetujuan rakan Pakatan Rakyat. — EdisiRakyat.com