Anwar Ibrahim dihalang masuk ke Jepun


KETUA Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu penjelasan Wisma Putra berhubung sekatan yang dikenakan terhadapnya daripada memasuki Jepun hari ini.

Dalam satu kenyataannya kepada EdisiRakyat, Anwar mendakwa telah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada pukul 6:45 pagi tadi dari Kuala Lumpur.

Namun beliau dihalang masuk oleh pihak berkuasa Imigresen Jepun, dan diarahkan segera meninggalkan negara itu menaiki pesawat seterusnya atau berdepan penghantaran pulang oleh pihak berkuasa Jepun.

Anwar turut menjelaskan, pihak berkuasa Jepun menghalang kemasukannya kali ini atas alasan hukuman penjara yang dijalaninya pada tahun 1999.

Namun sebelum ini, sebanyak tiga kali beliau dibenarkan masuk ke Jepun tanpa masaalah pada tahun 2006, 2007 dan 2012.

"Apabila saya bertanya kenapa saya dihalang masuk, mereka memaklumkan ia adalah kerana hukuman penjara yang saya jalani sebelum ini pada tahun 1999.

Saya beritahu mereka, alasan ini tentu tidak sah kerana sebelum ini saya pernah masuk (Jepun) sebanyak tiga kali tanpa halangan pada tahun 2006, 2007 dan 2012." tulis kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu juga, Anwar mendakwa pihak berkuasa Jepun mendedahkan kepadanya bahawa mereka terpaksa menyekat kemasukannya disebabkan oleh "laporan terbaru" kemungkinan pada tahun 2013.

Anwar bagaimanapun akur dan pulang semula ke Malaysia melalui penerbangan pada pukul 10:45 pagi tadi.

Tujuan beliau terbang ke Tokyo adalah bagi memenuhi jemputan peribadi daripada Encik Sasakawa, Pengerusi Yayasan Nippon untuk membentangkan satu kertas kerja.

Beliau telah membuat persediaan rutin sebelum berlepas, dengan membuat semakan melalui pejabatnya kepada Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur sejak minggu lalu dan mendapati tiada isu berbangkit untuk memasuki negara matahari terbit itu. — EdisiRakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post