Azmin kekal di PKNS, kata Anwar

KETUA Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim pagi ini menyebut bahawa YB Azmin yang juga merupakan Timbalan Presiden PKR akan kekal dengan kedudukannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS.

Anwar ketika menjawab persoalan wartawan juga mengatakan bahawa beliau bersetuju dengan kenyataan media sebelumnya oleh Setiausaha Kerja PKNS bahawa Pengurus Besar PKNS tiada kuasa untuk menamatkan tempoh perkhidmatan Ahli Lembaga Pengarah seperti yang dituduh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Justeru menurut Anwar tindakan yang diambil ke atas Azmin adalah tidak sah dan Azmin di PKNS sehingga penamatan tempohnya pada Februari 2015.

Anwar turut mengulas tindakan Azmin memulangkan kenderaan rasmi PKNS selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri Selangor tahun lalu adalah baik dan wajar dicontohi.

Alasan ini sebelumnya digunakan Khalid sebagai alasan untuk penamatan tempoh Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS.
Khalid juga sebelum ini menyatakan bahawa keputusan penamatan tempoh perkhidmatan Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS dibuat oleh Pengurus Besar PKNS, Dato' Othman Omar.

PKNS bagaimanapun menafikannya dalam satu kenyataan media oleh Setiausaha Kerja PKNS semalam.

Dalam kenyataan media tersebut PKNS mengesahkan bahawa mereka telah mengutus surat bertarikh 8 Januari 2014 kepada Azmin memaklumkan bahawa tempoh jawatan beliau telah ditamatkan oleh Kerajaan Negeri selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) pada 13 November 2013 dan disahkan oleh MMKN pada 4 Disember 2013.

PKNS turut menegaskan bahawa kuasa melantik Ahli Perbadanan adalah di tangan MMKN dan bukan bidang kuasa Pengurus Besar selaras dengan klausa 4(1) Enakmen Penubuhan PKNS.


Post a Comment

Previous Post Next Post