Bebanan kos hidup, ibu nekad jalan kaki hantar anak ke sekolah

BIARPUN sesi persekolahan sudah berlalu hampir tiga minggu, masih ramai ibu bapa yang terus terasa terhimpit dengan kos perbelanjaan persekolahan anak mereka.

Rata-rata ibu bapa yang ditemui, berkata dengan perbelanjaan yang semakin meningkat, menjadikan mereka terpaksa berjimat-cermat sementara menantikan gaji bulanan mereka pada hujung bulan ini.

Seorang suri rumah, Habsah Ahmad berkata beliau terpaksa mengambil keputusan menghantar anaknya dengan berjalan kaki ke sekolah setiap pagi, yang berjarak lebih satu kilometer.

Langkah itu katanya boleh menjimatkan sedikit perbelanjaannya berbanding terpaksa membayar tambang bas sekolah yang meningkat tahun ini.

Selain itu, beliau juga terpaksa menghadkan pembelian buku-buku untuk anaknya.

"Seperti biasa, saban tahun kita akan dapat senarai buku-buku yang perlu dibeli. Saya biasanya akan periksa senarai tersebut terlebih dahulu sebab adakalanya tidak semua buku itu digunakan.  

Ada juga buku tulis yang tahun lepas yang belum terpakai, jadi saya gugurkan beberapa naskhah.  Terpaksa buat macam tu, kalau tidak banyak yang terpaksa dihabiskan," kata beliau.

Rohaya Arshad (gambar), 35 tahun, pula berkata bagi sesi persekolahan baru ini, beliau menghabiskan kira-kira RM1000 untuk dua anaknya yang bersekolah, tidak termasuk duit belanja yang diberikan kepada anak-anaknya.

"Anak saya bersekolah dua orang. Sekolah kebangsaan dan sekolah agama. Untuk sekolah kebangsaan sahaja, saya sudah berhabis hampir RM500 untuk buku-buku, walaupun tiada sebarang yuran sekolah dikenakan," cerita beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Selayang, berkata tahun ini beliau terpaksa menumpangkan anaknya ke sekolah bersama jiran, berbanding menaiki van seperti tahun-tahun sebelumnya.

Tambah Rohaya, dengan pelbagai kenaikan kebelakangan ini, beliau tidak mempunyai pillihan lain selain menumpangkan anaknya dengan jiran berdekatan.

"Bayangkan, harga tambang untuk van atau bas sekolah sudah dinaikkan. Apabila kerajaan menaikkan harga minyak, sudah tentu pengusaha bas terpaksa juga naikkan tambang bagi menampung kos operasi mereka. 

Jadi, tahun ini saya pilih untuk tumpangkan anak-anak saya dengan jiran untuk ke sekolah," luah beliau lagi, yang turut menghadapi kos kenaikan sewa rumah daripada tuan rumah.

Seorang lagi ibu yang ditemui, Nooraini Kusri (gambar), 33, turut mengakui menghabiskan kira-kira RM1000 untuk persekolahan yang dibuka awal bulan lalu.

Katanya, masing-masing dua anaknya yang bersekolah kebangsaan dan agama berhabis hampir RM400 untuk buku dan yuran bagi kedua-dua sekolah tersebut.

"Belanja pula, seorang RM2 untuk sekolah pagi, manakala RM 2 untuk sekolah agama.  Belum lagi yuran PIBG yang akan menyusul kemudian," tambah beliau yang bekerja di sebuah syarikat penerbangan di negara ini.

Bagi seorang kerani bank, Norhanidah Ahmad, 30, beliau berhabis kira-kira RM500 untuk sesi persekolahan baru-baru ini untuk dua orang anaknya.

"Untuk sekolah kebangsaan, tidak banyak sangat berhabis.  Tapi sekolah agama, untuk buku dan yuran habis juga hampir RM300. Pengangkutan mereka ke sekolah dalam RM50 sebulan, dan beri belanja kepada anak-anak antra RM2 ke RM5 sehari," kta beliau.

Biarpun mengakui tiada sebarang yuran dikenakan pihak sekolah, namun beliau sedar bahawa beliau juga terpaksa membayar yuran PIBG dan juga perlu mengeluarkan sumbangan untuk aktiviti sekolah.

"Memang sekolah tidak mengenakan sebarang yuran, tapi biasanya yuran PIBG akan kena bayar.  Dan adakalanya sekolah terpaksa meminta sumbangan ibu bapa jika ingin melaksanakan apa-apa aktiviti.  Kasihan sekolah tiada peruntukkan, mungkin kerajaan kena fikirkan sesuatu," kata beliau — Harakahdaily 

Post a Comment

Previous Post Next Post