Guan Eng Sokong Anwar tanding DUN Kajang

,

EdisiRakyat.com

KETUA Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kini berkata Pakatan Rakyat menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Kajang.

"Kita tidak tahu apa yang berlaku yang membawa kepada bekas ADUN Kajang Lee Chin Cheh meletakkan jawatan, tetapi selepas pertemuan dengan pemimpin Pakatan di Kuala Lumpur semalam, kami bersetuju Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil itu," katanya, dalam satu sidang akhbar hari ini.

Semalam, Lim berkata beliau tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai perkembangan dalam PKR Selangor, yang membawa kepada Lee mengosongkan kerusinya bagi membuka jalan untuk pilihan raya kecil itu diadakan.

Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata demikian sebelum bergegas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri satu mesyuarat.

Kenyataan Lim itu dibuat selepas ketua DAP Selangor, Tony Pua (kanan) menyatakan sokongan kepada Anwar, manakala Pemuda PAS di Kajang telah memberi amaran mungkin akan memboikot pilihan raya kecil itu yang perlu dipanggil dalam tempoh enam bulan.

Ketua PKR Selangor Azmin Ali sebelum ini berkata peletakan jawatan Lee adalah "langkah taktikal" untuk membina momentum ke arah pilihan raya Sarawak dan pilihan raya umum ke-14, yang boleh diadakan seawal 2016. — Malaysiakini