Isu tudung: lembaga pengurusan sekolah mohon maaf secara terbuka

KETUA-KETUA masyarakat di Teluk Sengat Kota Tinggi menganggap isu berkenaan ugutan dan paksaan terhadap seorang guru mualaf di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina supaya membuka tudung selesai apabila pihak lembaga pengurusan sekolah itu tampil membuat permohonan maaf secara terbuka hari ini.
    
Majlis yang diadakan pagi tadi menyaksikan Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nan Ya Teluk Sengat, Phang Ah Ngang, 72, dan guru besar sekolah terbabit, Chiew Swee Tuan memohon maaf kepada guru terbabit berhubung perkara itu, lapor Bernama.
    
Ia diadakan di Dewan Terbuka Kampung Johor Lama, Teluk Sengat, Kota Tinggi hasil inisiatif Penghulu Mukim Johor Lama Mohd Nazri Kasmin; Pemangku Ketua Kampung Teluk Sengat Mohd Amin Jantan, Ketua MCA Teluk Sengat Eng Kok Ling dan pihak Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi.
    
Penghulu Mukim Johor Lama Mohd Nazri Kasmin berkata majlis itu diadakan untuk mengelak isu berkenaan terus berpanjangan yang akhirnya boleh mengundang lebih banyak masalah dan ketegangan antara rakyat di kawasan itu dan negara amnya.
    
"Jika ia berpanjangan, tidak mustahil nanti akan berlaku perbalahan sedangkan ia boleh diselesaikan dengan cara toleransi antara dua pihak.
    
"Satu pihak memohon maaf atas dasar kejahilannya dan satu pihak lagi memaafkan atas dasar sifat sebagai seorang muslim dan bersangka baik," katanya kepada pemberita di Kota Tinggi hari ini.
    
Menurutnya ini juga bersesuaian dengan semangat Maulidur Rasul yang baru disambut Selasa lepas dan sejarah Nabi Muhammad SAW ada diriwayatkan baginda sentiasa berbuat baik dan melarang para sahabat membalas dendam walaupun pernah dibaling dengan batu dan najis oleh kaum Musyirikin Makkah.
    
"Saya menghargai tindakan guru mualaf berkenaan yang sanggup menerima permohonan maaf dan semoga tindakan itu akan menjurus ke arah jalan penyelesaian," katanya.
    
Mohd Amin pula berkata majlis itu diharap akan dapat mengekalkan keamanan dan kedamaian yang dikecapi oleh masyarakt di situ sebelum ini.
    
"Sebagai anak tempatan dan ketua masyarakat di sini, kita mahu penduduk bersatu membangunkan Teluk Sengat dan hidup sejahtera," katanya yang juga bekas guru besar sekolah kebangsaan di Kota Tinggi.
    
Hadir sama di majlis itu Ketua Polis Daerah Supt Rahmat Othman; Timbalannya, DSP Low Han Seng; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Mohamad Fadil Ishak; Ketua MCA Teluk Sengat Eng Kok Ling; Ketua Umno cawangan Kampung Johor Lama Md Nor Atan, dan wakil NGO Mohamad Noh Hassan, lapor Bernama lagi.
    
Awal hari ini, MP Kulai, Teo Nie Ching berkata dengan permohonan maaf itu, kes tersebut selesai, dan tidak perlu lagi dibesar-besarkan.

Beliau juga menggesa Pemuda Umno supaya tidak memperbesar-besarkan isu itu seolah-olah semakin ramai bukan Islam menghina umat Islam di negara ini.

Menurut laporan berita, guru itu telahpun dipindahkan ke sekolah lain sementara siasatan sedang dijalankan.

Sebelum ini, pengerusi biro pendidikan Pemuda Umno, Mohd Rafiq Naizamohideen dilaporkan menuntut pihak berkenaan memohon maaf, dan jika tidak, menggesa kerajaan memecat guru besar sekolah tersebut.

Mohd Rafiq juga dilaporkan berkata guru berkenaan juga telah membuat laporan terhadap pegawai lembaga pengurusan sekolah yang didakwa mengancam keselamatannya.

Post a Comment

Previous Post Next Post