JAIS serbu Persatuan Bible Malaysia

JABATAN Agama Islam Selangor (Jais) telah menyerbu Persatuan Bible Malaysia (PBM) di Damansara Kim dan menahan dua pagawai iaitu Pengerusi, Lee Min Choon (gambar) dan Setiausaha Agung, Simon Wong.
 
Mereka turut merampas 300 bible versi Bahasa Malaysia dan Iban.

Ahli persatuan itu berkata, ketika pekerja persatuan itu membawa masuk barangan dan pejabat mereka tidak dibuka apabila 20 pegawai Jais bersama dua anggota polis tiba kira-kira jam 2 petang.

Apabila pekerja enggan membuka pintu, pegawai Jais meminta mereka menghubungi pegawai atasan mereka untuk mendapatkan kebenaran.

"Mereka memberitahu pekerja kita, kami ada masa lima minit untuk membuka pintu, jika tidak mereka akan masuk secara paksa.

"Bila pejabat hubungi saya, saya kata jangan benarkan sesiapa masuk kerana Jais tidak ada kuasa ke atas bukan Islam dan mereka juga tidak ada waran untuk menggeledah premis," kata ahli persatuan itu.

Apabila Lee sampai, dia membenarkan lima pegawai Jais masuk.
 
Mereka kini ditahan di Balai Polis Damansara. 

Minggu lepas, pengarah Jais, Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata beliau akan segera menghantar surat kepada semua gereja di Selangor untuk mengingatkan mereka supaya mematuhi Enakmen 1988 yang melarang orang bukan Muslim dari menggunakan kalimah Allah.

Enakmen 1988 iaitu Agama bukan Islam di Selangor (Kawalan Penyebaran Agama kepada Orang Muslim) yang diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional pada tahun 1988, melarang orang bukan Muslim di Selangor dari menggunakan 35 perkataan Arab dan ungkapan dalam agama mereka, termasuk "Allah", "Nabi", "Injil" dan "Insya'Allah".

Sementara itu, menurut Sinar Harian, pihak polis telah memanggil pengarang Herald, Father Lawrence Andrew, akhbar rasmi Gereja Katolik.

Ia dipercayai berkait dengan kenyataan pengarang itu kepada media baru-baru ini bahawa mereka akan terus menggunakan kalimah Allah dalam laporan mereka.

Andrew, dalam laporan sebelum ini berkata, Artikel 11(3) (A) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan setiap kumpulan agama berhak menguruskan hal ehwal keagamaan mereka sendiri.

"Agama kami tidak boleh diuruskan oleh sebarang kumpulan agama Islam. Ia bertentangan dengan Perlembagaan. Kami akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan kami," katanya kepada The Malaysian Insider

Post a Comment

Previous Post Next Post