Johan Rajalawak menang saman RM1 juta

,

EdisiRakyat.com

JOHAN Raja Lawak atau nama sebenarnya Mohammad Yazid Lim Mohamad Aziz dan isterinya hari ini menang dalam kes saman terhadap pengarah dan syarikat penerbitan drama dan filem berhubung kecederaan yang dialami pelawak itu dalam penggambaran di sekitar Negeri Sembilan.
    
Hakim Datuk Su Geok Yiam membuat keputusan membenarkan tuntutan saman Johan dan isterinya, Rozlinawaty Ismail dengan kos ditanggung oleh Mohd Javed Mohd Nizar dan syarikat penerbitan, Juara Filem Production Sdn Bhd selaku defendan.
    
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 23 Januari ini untuk menentukan jumlah ganti rugi dan kos yang akan diperoleh pasangan itu.
    
Mahkamah juga menolak tuntutan balas RM2 juta yang difailkan Mohd Javed, 37, dan syarikat penerbitan tersebut.
    
Pada 18 Julai 2010, Johan, 29, dan isterinya yang lebih dikenali sebagai Ozlynn Wati, 32, selaku plaintif memfailkan saman RM1 juta terhadap kedua-dua defendan dengan mendakwa Mohd Javed telah mengasari dan membaling gelas kaca sehingga menyebabkan Johan mengalami kecederaan di dahi kirinya ketika mereka berjumpa di sebuah restoran di Sikamat, Seremban pada pada 11 Mei 2010.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Johan mendakwa Mohd Javed juga bertindak menterbalikkan meja di hadapannya dan isteri di mana Johan turut mengalami kecederaan pada bahagian bawah mata kanan akibat ditumbuk seorang krew penggambaran yang dikenali sebagai 'Halim'.
    
Johan, juga pelakon dan pengacara mendakwa Mohd Javed dan Halim kemudiannya terus memukul dan menyepaknya dan perbuatan mereka telah dihalang Ozlynn yang menyebabkan isterinya itu turut dipukul.
    
Beliau juga mendakwa pengarah itu telah menulis dan menyiarkan e-mel berunsur fitnah terhadap mereka berhubung masalah yang ditimbulkan hingga mengganggu set penggambaran dan e-mel itu dihantar kepada Persatuan Seniman Malaysia pada 20 Mei 2010.
    
Pelawak itu mendakwa kata-kata yang disiarkan dalam email itu membawa maksud bahawa beliau tidak sesuai diambil bekerja sebagai pelakon kerana selalu lambat, tidak bekerjasama dan sering menimbulkan masalah kepada mana-mana pengarah hingga menyebabkan beliau dan isterinya diberhentikan sebagai pelakon dalam drama arahan pengarah itu.
    
Johan mendakwa, sehari sebelum kejadian itu (10 Mei 2010), beliau kehilangan ibu tersayang, Salwa Md Dani yang meninggal dunia akibat ketumbuhan otak dan selepas urusan pengebumian ibunya selesai di Ampang, Selangor, beliau dan isteri memutuskan untuk pergi ke lokasi penggambaran di sekitar Sikamat dan mereka tiba di lokasi penggambaran itu pada jam 4 petang, keesokannya.
    
Sehubungan dengan itu, kedua-dua plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi khas untuk perbelanjaan dan kos rawatan serta ganti rugi teruk.  
    
Mereka juga memohon kenyataan maaf dikeluarkan secara terbuka oleh kedua-dua defendan menerusi akhbar dan televisyen tempatan, penarikan balik kesemua surat atau e-mel berbentuk fitnah yang dikeluarkan kepada kesemua persatuan industri, faedah dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
    
Pasangan itu diwakili peguam Suhaimi Saad dan Zahrin Ishak manakala kedua-dua defendan diwakili peguam Baljit Singh. — Bernama