Kalimah Allah: Khalid Samad terima cabaran debat Noh Omar

AHLI Parlimen Parti Islam, PAS Shah Alam, Khalid Samad sebentar tadi mengumumkan secara terbuka bahawa beliau menerima cabaran debat Datuk Noh Omar berhubung isu Kalimah Allah.

Noh Omar yang juga merupakan Ahli Parlimen, Barisan Nasional, BN Tanjung Karang dikatakan membuat cabaran debat terhadap beliau secara terbuka melalui akhbar tempatan Sinar Harian sebelum ini.

Dalam reaksi balasnya melalui laman sosial Twiter, difahamkan Khalid menerima cabaran debat tersebut dengan senang hati tanpa meminta apa-apa syarat.

Difahamkan juga Sinar Harian bersedia untuk menganjurkan majlis debat tersebut.

Isu 'kalimah Allah' sudah berlarutan bertahun-tahun lamanya dan dilihat menjadi alat politik segelintir pihak di dalam meraih sokongan majoriti masyarakat Melayu di Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun isu itu dilihat tidak disensasikan di Malaysia Timur kerana populasi masyarakat Islam di sana yang tidak begitu dominan selain isu itu tidak mendapat sambutan di Sabah dan Sarawak.

Laporan hasil kajian Pusat Demokrasi dan Pilihanraya Universiti Malaya, UMCEDEL mendapati lebih 70 peratus masyarakat Melayu terkesan dengan isu 'kalimah Allah' yang disensasikan secara terus menerus.

Ini menjadikan pihak tertentu menggunakannya sebagai antara 'political tools' terbaik bagi meraih sokongan majoriti bangsa Melayu di Semenanjung Malaysia . — EdisiRakyat.com 


Post a Comment

Previous Post Next Post