Krisis PKNS: Azmin Ali sudah lama mahu jadi MB Selangor — Ibrahim Ali


PERTUBUHAN Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mendakwa Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Mohammed Azmin Ali bercita-cita mahu menjadi Menteri Besar Selangor.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali dalam satu kenyataannya mendakwa Azmin Ali sudah lama memasang cita-cita untuk menjadi Menteri Besar Selangor dan bukan sekadar pengarah PKNS.

"Khalid curiga kepada Azmin yang bercita-cita mahu menjadi menteri besar. Azmin pula memang sudah lama memasang niat. Tambahan pula sebagai timbalan presiden, cita-citanya, bukan sekadar ahli lembaga pengarah PKNS." katanya.

Ibrahim menyifatkan ini sebagai amaran awal buat rakyat Selangor bahawa kerajaan PKR gagal mentadbir negeri yang diperintah mereka.

"Ia seperti meludah ke muka sendiri. Jika dapat kuasa di peringkat pusat, pasti perebutan kuasa lebih hebat di antara PKR, DAP dan PAS.

"Kemelut seumpama ini tidak menjamin kestabilan politik dan keamanan negara. Ini baru jawatan Ahli Lembaga pengarah PKNS

"Jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pendidikan pasti akan menjadi rebutan suatu hari nanti. Ini belum masuk lagi hal dasar dan ideologi masing-masing." katanya.

Ibrahim juga menegaskan apa yang berlaku di Selangor merupakan amaran awal bagi seluruh rakyat untuk melihat kegagalan pentadbiran PKR.

Krisis antara Azmin dan Khalid, hangat dilaporkan di media-media tempatan sejak Timbalan Presiden PKR, merangkap ADUN Gombak itu dilucutkan dari jawatan Lembaga Pengarah PKNS.

Khalid yang sebelum ini menafikan tuduhan beliau mahu menyingkirkan Azmin mendakwa, Azmin dipecat oleh Pengarah Besar PKNS, Othman Omar.

Bagaimanapun dalam kenyataan penafian, PKNS melalui setiausaha kerjanya Norita Mohd Sidek, berkata kuasa melantik ahli Perbadanan adalah di tangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau Exco bukan di tangan Pengurus Besar seperti didakwa Khalid, selaras dengan klausa 4(1) enakmen penubuhan PKNS.  — EdisiRakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post