Krisis PKNS: Pendedahan dokumen MB Selangor leraikan tanda tanya


PENDEDAHAN yang dilakukan oleh Pejabat Menteri Besar Selangor hari ini meleraikan tanda tanya yang menjadi persoalan dalam isu krisis PKNS.

Kertas untuk pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri daripada Pejabat YAB Dato' Menteri Besar Selangor (Kertas MMK: 58/35/2013) memperlihatkan syor-syor yang dibuat oleh Pejabat Menteri Besar Selangor berkenaan cadangan untuk mempertimbangkan semula perlantikan ahli-ahli perbadanan yang dilantik dibawah seksyen 4(1)(d) Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor 1964.

Kertas cadangan tersebut menyebut bahawa perlantikan YB Tuan Mohamed Azmin b. Ali, ADUN Kawasan Bukit Antarabangsa telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bil. 5/2013 bertarikh 6 Februari 2013 hanya akan tamat pada tarikh 10 Februari 2015.

Ulasan Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor pula melalui surat bil. PU.SELAM 315/10/2013 (SRM) bertarikh 18 Oktober 2013 pula menyatakan bahawa pelantikan Ahli-Ahli Profesional yang dibuat sebelum PRU13 bagi tempoh 2 tahun yang berkuat kuasa mulai 11 Februari 2013 masih lagi berkuat kuasa walaupun selepas keputusan PRU13 dibuat.

Walau bagaimanapun, ulasan Pejabat Menteri Besar Selangor pula menyatakan bahawa kedudukan YB Tuan Mohamed Azmin bin Ali sebagai 'sesuai untuk dikaji semula' disebabkan beliau telah mengembalikan kemudahan-kemudahan yang diterima sebelum Pilihan Raya Umum ke 13.

Cabutan Daripada Keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan ke 35/2013 yang diadakan pada 13 November 2013 dan disahkan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan ke 37/2013 pada 4 Disember 2013  telah merungkaikan persoalan yang berbangkit apabila hanya meluluskan perlantikan YB Dato' Teng Chang Khim dan YB Tuan Iskandar bin A. Samad tanpa melantik semula Azmin.

Dokumen tersebut hanya menyebut bahawa seorang lagi calon Ahli Perbadanan PKNS akan ditentukan kemudian. 

Dato' Menteri Besar, YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengarahkan Ketua Setiausaha Sulit supaya mendedahkan dokumen-dokumen mengikut kronologi yang berkaitan isu Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
 
Dokumen-dokumen sulit seperti keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan surat menyurat antara Pejabat Menteri Besar, PKNS dan Setiausaha Kerajaan Negeri ini didedahkan menggunakan kuasa Menteri besar yang diperuntukkan mengikut Seksyen 2 (C) Akta Rahsia Rasmi.
 
Dokumen ini dikeluarkan untuk membolehkan orang ramai meningkatkan kefahaman dan berhenti membuat spekulasi kerana dikhuatiri menjejaskan siasatan dalaman yang sedang dijalankan oleh Kerajaan Negeri.— EdisiRakyat.com

Post a Comment

Previous Post Next Post