Lim Kit Siang gesa PM tubuh Suruhanjaya Diraja bongkar skandal PKFZ

KETUA Parlimen DAP, Lim Kit Siang menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyelesaikan skandal Port Klang Free Zone (PKFZ)

Beliau juga menggesa supaya kedua-dua pihak, Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional, menyokong usul itu di Parlimen untuk mengelakkan negara terus menjadi bahan ketawa antarabangsa.

"Jika Najib benar mahu membasmi rasuah, maka beliau perlu menyusun semula strategi untuk menghadapkan pihak yang bertanggungjawab, daripada 'ikan bilis' sehingga 'jerung' ke muka pengadilan.

"Saya tidak rasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mampu atau berani untuk menyumbang dalam soal ini…Maka ada satu jalan keluar – penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja," katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya lagi, rakyat Malaysia tidak wajar berputus asa dan menerima bahawa skandal bernilai RM12.5 bilion itu adalah 'jenayah buruk tanpa penjenayah, seperti gelaran yang diberikan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada kes RM2.5 bilion Bumiputra Malaysia Finance pada dekad 80-an.

14 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choi daripada tiga tuduhan menipu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi berhubung skandal itu

Tahun lalu, suspek utama Tun Ling Liong Sik turut dibebaskan daripada tuduhan sama.

Menggelarnya sebagai 'ibu segala skandal', Ahli Parlimen Gelang Patah itu dengan sinis menyatakan hal sepenting pembebasan Chan itu pasti tidak akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet,

"Saya membayangkan para menteri dan pemimpin tertinggi Umno BN menarik nafas lega dengan pembebasan dua bekas menteri itu kerana ia berjaya merahsiakan hal sebenar yang berlaku.

"Maka, sudah tentu tiada siapa yang sanggup menjolok sarang tebuan, menuntut kebertangungjawaban ditingkatkan," katanya lagi.

Sehingga kini, tiada siapa pun yang terlibat dalam skandal itu dihukum. — Roketkini.com

Post a Comment

Previous Post Next Post