Lynas tuntut pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack mohon maaf

SYARIKAT pemprosesan nadir bumi, Lynas Corporation tuntut pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack memohon maaf kerana dikatakan telah memfitnah syarikat tersebut dalam sebuah laman sesawang.

Dalam sebuah surat yang disediakan oleh peguam-peguam yang mewakili Lynas, Jeff Leong, Poon dan Wong, syarikat kontroversi itu mendakwa ia mendapati bahawa Himpunan Hijau terlibat menerbitkan kenyataan palsu, mencemar dan memfitnah Lynas di dalam sebuah artikel di laman sesawang Friends of the Earth.

Himpunan Hijau dikatakan telah menggambarkan bahawa Lynas adalah syarikat yang korup dan telah bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan yang juga korup di dalam mendapatkan kelulusan terhadap Lynas Advance Materials Plant (LAMP) di Gebeng.

Himpunan Hijau juga didakwa telah menuduh Lynas melanggar prosedur-prosedur serta SOP dan Lynas merupakan syarikat yang tidak mementingkan alam sekitar.

Surat itu turut menyatakan bahawa kumpulan anti-Lynas itu juga telah menggambarkan bahawa LAMP milik Lynas telah melakukan operasi yang membahayakan alam sekitar, malah turut menghasut rakyat Malaysia dan juga para pelabur agar berhenti daripada melabur di dalam saham Lynas.

"Tuduhan-tuduhan yang ditulis di atas adalah secara keseluruhannya tidak benar, atau tidak tepat secara fakta dan artikel tersebut secara keseluruhannya merupakan fitnah besar terhadap Lynas" tulis surat itu lagi.

Lynas turut menuntut Wong, atau kumpulannya menghapuskan artikel tersebut daripada laman sesawang tersebut dalam tempoh tujuh hari serta menghantar satu surat jaminan bahawa tidak ada lagi artikel seperti itu akan disiarkan.

Lynas juga meminta Wong agar menyiarkan satu permohonan maaf di dalam laman sesawang tersebut juga mengiklankan satu permohonan maaf bersaiz separuh muka dalam sebuah surat khabar arus perdana Malaysia — EdisiRakyat.com 

Post a Comment

Previous Post Next Post