Pengurus nafi Zizan Razak dan Emma Maembong bercumbu dalam pesawat

"MANA buktinya? Saya minta hentikanlah dakwaan dan fitnah tersebut, saya betul-betul terkilan dengan dakwaan itu," tegas Marina Juki, yang juga pengurus kepada Zizan Razak dan Emma Maembong berkaitan gosip yang menimpa kedua-dua artisnya lapor Sinar Harian.

Marina yang juga Pengarah Urusan Wire Fame Entertainment Sdn Bhd dilaporkan berkata, gosip yang mendakwa Zizan bercumbuan dengan aktres Emma di dalam kapal terbang ketika dalam perjalanan ke Los Angeles, Amerika Syarikat, baru-baru ini adalah tidak berasas.

"Tak mungkin dia berbuat demikian, kerana saya berada di tengah antara Zizan dan Emma. Kami pergi bersama krew produksi syarikat seramai lapan orang.

"Mana boleh dia buat begitu sebab ia di depan khalayak dan di sekeliling kami?" katanya yang sangat terkejut sekali gus menyangkal dakwaan itu.

Pihaknya juga menyifatkan tuduhan itu sebagai perbuatan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab yang mahu menjatuhkan maruah artis di bawah naungan syarikat itu.

"Saya tak tahu apa tujuan mereka berbuat begitu. Tapi apa yang pasti, perkara itu tidak betul," tegasnya berkali-kali.

Marina berkata, pihaknya akan memantau gosip liar dan dakwaan yang tidak berasas pada masa akan datang yang melibatkan artis yang berada di bawah naungan produksi itu.

"Kita akan pastikan semua gosip mengarut dan tak sihat ini tidak disensasikan. Ia bukanlah sesuatu yang sihat bahkan menjejaskan reputasi artis serta pandangan masyarakat yang ingin menjadikan seseorang artis sebagai ikon mereka.

"Jadi kami kena ubah strategi agar perkara ini tidak disensasikan sewenang-wenangnya dan menjadi buah mulut orang," katanya.

Dalam pada itu, Zizan bagaimanapun tidak dapat dihubungi dan difahamkan sedang menjalani penggambaran filem Cicakman 3 bersama Lisa Surihani dan Yusri KRU.

Selain Zizan, produksi itu mempunyai enam artis di bawah naungan mereka, antaranya Johan As'ari, Emma Maembong dan Kaka.

Sebelum ini, sebuah akhbar mingguan Ahad melaporkan Zizan dan Emma tanpa segan silu bercumbuan di atas kapal terbang tanpa menghiraukan penumpang lain yang melihat aksi mereka.

Kedua-dua pasangan itu pernah dikaitkan bercinta tetapi menafikan perkara itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post