Perancis hukum wanita Islam tutup muka

MAHKAMAH Perancis kelmarin mensabitkan seorang wanita kerana menutup muka sepenuhnya di khalayak ramai dan menolak usahanya yang mahu memastikan larangan pemakaian burqa di negara itu tidak menepati Perlembagaan. 
 
Cassandra Belin, 20, juga disabitkan bersalah menghina dan mengugut tiga anggota polis ketika ditangkap, yang mencetuskan rusuhan selama dua hari di bandar Trappes, berhampiran Paris pada Julai 2013. 

Beliau dikenakan hukuman sebulan penjara kerana bergaduh dengan polis dan denda 150 euro (RM667) kerana memakai penutup muka. 
 
Cabul kebebasan 
 
Peguam Belin, Philippe Bataille, berkata larangan pemakaian burqa mencabul kebebasan beragama dan menyasarkan umat Islam secara tidak adil, meminta arahan kecemasan mengenai larangan itu secara berperlembagaan sebelum menjatuhkan hukuman. 
 
Namun permohonannya ditolak atas dasar Majlis Perlembagaan sebelum ini sudah mengekalkan undang-undang 2011. 
 
Bataille berkata, beliau akan mengemukakan rayuan dan berikrar untuk terus berjuang memastikan larangan itu ditarik balik.
 
Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah dijangka mengeluarkan arahan lewat tahun ini dalam kes yang dibawa penduduk Islam Perancis yang menegaskan larangan memakai burqa mencabul hak kebebasan beragama, kebebasan bersuara dan kebebasan berkumpul, serta melanggar larangan diskriminasi. 
 
Pengkritik berkata, jika keselamatan menjadi pertaruhan, topi keledar juga perlu diharamkan. Secara teori, larangan meliputi semua pemakaian yang menutup muka tetapi tangkapan cuma dilakukan ke atas wanita Islam yang berpakaian demikian. — AGENSI

Post a Comment

Previous Post Next Post