Sekat Anwar ke Jepun: KEADILAN desak penjelasan penuh Wisma Putra

,

EdisiRakyat.com

WISMA Putra didesak memberi penjelasan penuh berhubung sekatan terhadap Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari memasuki Jepun.

"Pemerintah Jepun mendakwa satu laporan baru-baru ini datang dari kerajaan Malaysia yang merupakan asas tidak membenarkan Anwar memasuki Jepun

"Kami mendesak penjelasan penuh Wisma Putra," kata Ketua Biro Guaman & Hak Asasi KEADILAN, Latheefa Koya dalam kenyataannya hari ini.

Menurut kenyataan tersebut, adalah suatu keanehan apabila Anwar dilarang memasuki Jepun atas dakwaan politik lama pada 1999, sedangkan beliau telah beberapa kali memasuki negara itu sebelum ini.

"Ini adalah siri terkini serangan kerajaan Malaysia terhadap Ketua Pembangkang yang masih berdepan kemungkinan sabitan tuduhan yang direka-reka," kata Latheefa.

Tambah Latheefa, ini bukan kali pertama kerajaan Malaysia menggunakan tekanan diplomatik untuk mempertahan 'kepentingannya'.

Sebelum ini, pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand pernah dihalang memasuki Malaysia untuk melakukan bedah siasat keatas mangsa kematian dalam tahanan, C Sugumar.

"Kami mendesak Perdana Menteri membetulkan keadaan ini serta merta, menggugurkan laporan tidak wajar yang dihantar kepada kerajaan Jepun," tegasnya.

Latheefa menambah, kerajaan Malaysia mesti memberi akses perjalanan penuh kepada Anwar — Keadilandaily