Serahkan kembali Bible yang dirampas kata Anwar Ibrahim

,

EdisiRakyat.com

KETUA pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan tidak bersetuju dengan cara Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) dan mahu Bible yang dirampas itu diserahkan kembali.

"Serahkan ia kembali," kata Anwar dalam sidang medianya hari ini merujuk kepada lebih 300 naskah Bible dalam Bahasa Malaysia dan Iban yang dirampas dalam serbuan JAIS sebelum ini.

Anwar tidak mempersoalkan kuasa yang dimiliki badan agama tersebut sebaliknya menegaskan serbuan tersebut sebagai tidak menjaga sensitiviti masyarakat berbilang agama di Malaysia.

"Saya tidak persoal tugas JAIS untuk menyoal, menyiasat ataupun memanggil individu untuk memberi penjelasan.

"Apa yang saya pertikaikan adalah kaedah yang diambil dalam menangani isu tersebut yang tidak menjaga sensitiviti," terangnya lagi.

Anwar juga dilaporkan turut membidas sikap segelintir pemimpin yang mengganggap isu kalimah Allah adalah ancaman pihak Kristian bertujuan untuk memurtadkan penganut Muslim di Malaysia.

"Wujud kempen besar-besaran oleh Umno menuduh Anwar dan Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) kononnya menyerahkan Allah kepada Kristian... ini adalah mengelirukan.

"Saya percaya jika kita meneruskan penerangan secara berkesan, kita boleh menyakinkan ramai Muslim bahawa perkara ini bukan ancaman dan bertentangan dengan kepercayaan mereka," terang Anwar lagi.

Anwar turut berkata pendirian Pakatan Rakyat (PR) dalam isu kalimah Allah kekal seperti yang diputuskan dalam mesyuarat pemimpin tertinggi PR pada tahun lalu.

"Pendirian PR kekal seperti yang diputuskan sebelum ini," katanya lagi.

Pada 8 Januari 2013, PR mencapai pendirian penggunaan kalimah "Allah" boleh digunakan oleh penganut Kristian dengan syarat ia  tidak disalahgunakan dan menegaskan kalimah "Allah" tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat.

Keputusan tersebut diumumkan Abdul Hadi selepas mesyuarat pemimpin tertinggi PR yang dihadiri Presiden PAS, Abdul Hadi, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Anwar.

Anwar juga menggesa supaya penjelasan mengenai isu penggunaan kalimah Allah dijelaskan sebaiknya bagi mengelak ia lebih serius.

"Kita perlu jelaskan ia tidak memberi kesan kepada akidah dan tidak memberi laluan kepada pihak mubaligh Kristian untuk mengelirukan Muslim dan kita perlu jelaskan ini kepada Muslim," tegasnya lagi — EdisiRakyat.com