Sumbat kangkung dalam mulut replika PM, Umno Penang lapor Polis

,

EdisiRakyat.com

BADAN perhubungan Umno Pulau Pinang mengecam dan mengutuk tindakan ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon yang didakwa bertindak biadab apabila menyumbat kangkung ke dalam mulut patung menyerupai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Rabu lepas.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata tindakan Adun daripada PKR itu sangat keterlaluan.
    
"Tindakan ADUN itu sangat biadab kerana bertindak sedemikian, apa dosa dan hina sangat perdana menteri sehingga diperlakukan sebegitu. Lagipun tindakan wakil rakyat itu bukan boleh membantu kerajaan dalam menangani masalah kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang ini.
    
"Kalau betul beliau (Lee) seorang yang jujur dalam berpolitik, beliau sepatutnya tampil memberi cadangan atau idea bagi membantu mengatasi masalah kos barang yang semakin naik," katanya dalam satu sidang akhbar di Bukit Mertajam hari ini.
    
Reezal yang juga ahli Parlimen Kepala Batas berkata demikian bagi mengulas tindakan Lee dan sekumpulan penyokong DAP menyumbat kangkung ke dalam mulut patung menyerupai perdana menteri di sebuah pasar malam di Machang Bubuk Rabu lepas.
    
Gambar patung dan tindakan kumpulan itu kemudiannya dimuat naik menerusi akaun laman sosial Twiter milik wakil rakyat Machang Bubuk berkenaan dan menerima pelbagai komen daripada orang ramai.
    
Reezal Merican berkata rakyat perlu menilai tindakan pemimpin Pakatan Rakyat itu dan beliau percaya ia dibuat hanya mahu meraih kepentingan politik.
    
"Apakah dengan melakukan omokan dan meracuni pemikiran rakyat akan selesai masalah rakyat yang terhimpit dalam menangani kenaikan kos sara hidup. Bolehkah kerajaan negeri ini menangani masalah kenaikan harga barang?.
    
"Lagipun mana-mana agama dan budaya kita tidak boleh menghina sehingga ke tahap ini dan adakah ini politik baru yang nak diperkenalkan PKR," katanya.

Sementara itu, Umno Bahagian Bukit Mertajam membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di Bukit Mertajam bagi meminta pihak berkuasa menyiasat tindakan ADUN Machang Bubuk itu yang didakwa menghina perdana menteri dan menghasut rakyat supaya membenci Najib.
    
Ketua Umno bahagian itu Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata penduduk Bukit Mertajam terutama di Machang Bubuk sangat marah dengan tindakan wakil rakyat berkenaan yang membangkitkan perasaan tidak puas hati kerana menghina pemimpin negara.
    
"Banyak lagi perkara lain yang beliau boleh buat daripada bertindak sedemikian (menyumbat kangkung ke dalam mulut patung menyerupai perdana menteri). Penduduk di Machang Bubuk pilih beliau untuk bantu mereka selesaikan masalah rakyat.
    
"Ini masalah banjir kilat yang sering berlaku di kawasan Machang Bubuk tidak selesai, sibuk nak hina pemimpin negara dan tindakannya itu tidak boleh diterima langsung kerana dia tidak memikirkan sensitiviti masyarakat," katanya — Bernama