Fitnah: Mahkamah perintah Papa Gomo bayar RM850 ribu kepada Anwar Ibrahim

,

EdisiRakyat.com
PENULIS blog pro Umno, Papa Gomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris (gambar tengah) hari ini diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar RM800,000 kerana memfitnah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakim Rosilah Yop dalam penghakimannya dilaporkan telah mengesahkan bahawa Wan Muhammad Azri Wan Deris, adalah pengendali blog Papa Gomo.

Hakim dilaporkan turut membenarkan permohonan injunksi tetap oleh Anwar bagi menghalang Wan Muhammad Azri  mengulangi fitnahnya dalam blog www.papagomo.com. 

‎Selain itu hakim juga dilaporkan telah mengeluarkan perintah kepada Wan Muhammad Azri untuk membayar RM50,000 kepada Anwar sebagai kos.

Anwar Ibrahim Pada 21 Mac lalu mengambil tindakan saman terhadap pengendali blog Papa Gomo kerana menyiarkan empat artikel fitnah terhadapnya yang cuba mengaitkan beliau dengan lelaki di dalam sebuah video.

Menurut penyataan tuntutan Anwar, defendan telah meletakkan beberapa ‎pautan laman sesawang yang memaparkan satu siri imej dengan mengatakan lelaki itu adalah Anwar.

Wan Muhammad Azri sebelum ini menafikan bahawa beliau adalah pengendali blog Papa Gomo. — EdisiRakyat.com