Misi lindungi wanita mangsa rogol perang

,

EdisiRakyat.com


MINGGU depan, rombongan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dijangka ke Myanmar untuk misi kemanusiaan serampang dua mata, yakni memberi bantuan ubat-ubatan dan barangan kepada minoriti Rohingya serta mengadakan rundingan dengan pihak berkuasa agar memberi pembelaan kepada golongan yang terancam ini.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Rohingya adalah antara minoriti yang paling teraniaya di dunia. Ekoran pembunuhan, pembakaran masjid dan kampung serta serangan yang dilakukan puak majoriti Rakhine beragama Buddha, dianggarkan 140,000 daripada satu juta penduduk Rohingya beragama Islam kini menjadi pelarian, kebanyakannya ke Bangladesh. Di Malaysia, dianggarkan 30,000 pelarian Rohingya mencari perlindungan.

Antara keganasan yang dilakukan terhadap etnik Rohingya ialah rogol. Rekod Liga Wanita Burma dan Human Rights Watch membuktikan ramai wanita dan kanak-kanak perempuan Rohingya menjadi mangsa keganasan rogol tentera kerajaan sejak bertahun lalu.

Dalam sejarah perang dunia, wanita dan kanak-kanak sering menjadi mangsa manakala rogol beramai-ramai adalah antara strategi membunuh semangat lawan. Dalam tempoh sebulan serangan tentera Jepun ke atas Nanking pada 1937, dianggarkan 20,000 wanita telah dirogol.

Apabila tentera Rusia menawan Berlin pada 1945, ratusan ribu wanita menjadi mangsa rogol secara sistematik. Begitu juga yang dilakukan tentera Amerika terhadap wanita dan kanak-kanak Vietnam pada tahun 1970an. 

Antara jenayah rogol perang paling ganas yang didokumenkan ialah di Bangladesh pada 1971 dan di Bosnia pada 1993. Dipercayai lebih 200,000 wanita menjadi mangsa rogol di Bangladesh, dipercayai untuk menghapuskan semangat kebangsaan Bengali dan mewujudkan bangsa baharu.

Kata seorang pemerhati: "It was a planned crime. The rapes were so systematic and all-inclusive that only a conscious military strategy can have been behind them." (Susan Brownmiller dalam Against Our Will: Women and Rape: New York, 1975).

Manakala di Bosnia, antara 20,000 hingga 50,000 wanita dan kanak-kanak dirogol secara sistematik oleh tentera Serbia sebagai sebahagian matlamat menghapuskan bangsa Bosnia-Croat beragama Islam (ethnic cleansing), kata Haris Silajdzic, Menteri Luar Bosnia ketika itu (Newsweek, 11 Januari 1993).

Mangsa rogol sama ada dibunuh atau dihalau supaya tidak pulang lagi ke tempat asal. Kekejaman jenayah tentera Serbia dan keterangan mangsa boleh dibaca dalam buku Mass Rape suntingan Alexandra Stiglmayer (University of Nebraska Press, 1994) dan Seasons In Hell: Understanding Bosnia's War karya Ed Vulliamy (Simon & Schuster, London, 1994)

Seorang penganalisis rogol dan perang, Ruth Seifert, memberi lima faktor menjelaskan jenayah ini.

Pertama, semata-mata menunjukkan kuasa, kemarahan dan bersikap kejam. ("It has nothing to do with sexuality. Rape is not an aggressive manifestation of sexuality but a sexual manisfestation of aggression.")

Kedua, sebagai tindakan simbolik untuk memalu dan mematikan semangat tentera lawan. Ketiga, memberi ruang kepada tentera baru dan muda menunjukkan kejantanan dan dominasi.

Keempat, bertujuan memusnahkan budaya dan maruah musuh. Seperti kata supremo propaganda Nazi, Goebbels: "Man should be trained as a warrior and woman as recreation for the warrior; anything else is foolishness."

Kelima, kemarahan dan kebencian terhadap wanita. Wartawan Croatia, Ines Sabalic, dalam Report from Zagreb melaporkan perbuatan tentera Serbia memotong buah dada dan membelah perut mangsa selepas merogol mereka adalah manifestasi kebencian yang melampau terhadap wanita.

Kita mengharapkan Mapim berjaya dalam misi mereka. Keganasan dan kekejaman terhadap etnik Muslim Rohingya mesti dihentikan.

Wanita dan kanak-kanak perempuan mesti dilindungi daripada dirogol dengan kejam. Amat mengharukan sekali bahawa pada abad ke-21 ini, wanita dan kanak-kanak masih belum terbela terutama dalam suasana perang.