Puteri Raja Sepanyol dihadap ke mahkamah sebagai suspek rasuah

,

EdisiRakyat.com

PUTERI Raja Sepanyol, Juan Carlos dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah yang disifat sebagai memalukan keluarga diraja negara itu.

Hakim berkenaan, Jose Castro menyoal Puteri Cristina berhubung dakwaan bahawa beliau menipu cukai dan terlibat dalam kes pengubahan wang haram.

Puteri berusia 48 tahun itu keluar dari sebuah kereta bercermin gelap dan berjalan masuk ke sebuah mahkamah yang terletak di pulau peranginan Majorca.

Beliau melambai dan mengangguk kepada kumpulan kru televisyen, jurugambar dan wartawan yang berkumpul berhampiran pintu masuk mahkamah.

Cristina yang memakai baju putih dan jaket hitam kelihatan bersahaja ketika memasuki mahkamah berkenaan untuk menjawab soalan Hakim Castro.

"Beliau tenang," kata seorang peguamnya, Jesus Maria Silva kepada pemberita.

Puteri itu yang sebelum ini dianggap kebal daripada undang-undang didakwa bersubahat dengan suaminya, Inaki Urdangarin yang turut disiasat.

Namun, mereka belum didakwa secara rasmi berhubung sebarang jenayah.

Castro mengambil masa lebih dua tahun menyiasat dakwaan Urdangarin dan seorang bekas rakan niaganya melesapkan dana awam sebanyak 6 juta euro (RM26.9 juta) melalui sebuah yayasan amal.

Cristina yang memakai gelaran Duchess of Palma de Mallorca merupakan seorang ahli lembaga pengarah yayasan berkenaan.

Beliau dan suaminya juga bersama memiliki sebuah syarikat lain, Aizoon yang disyaki pihak berkuasa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.