Tan Sri Khalid Ibrahim pertahan tindakan pecat 22 kakitangan PKNS

,

EdisiRakyat.com
MENTERI Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilapor mempertahan tindakan memecat 22 kakitangan anak syarikat PKNS yang mencetuskan kontroversi di media-media arus perdana. 

Khalid dilaporkan sebagai berkata, pemecatan itu mengikut prosedur dan perjanjian yang telah dibuat dengan kakitangan PKNS tersebut. 

"Prosedur penamatan kontrak mematuhi terma dan syarat mengikut perjanjian yang dibuat sebelum ini" katanya.


Beliau turut mendedahkan bahawa, penamatan kontrak tersebut menjimatkan kos operasi PKNS sehingga RM7 juta setahun. 

"Penamatan kontrak ini akan menjimatkan kos operasi PKNS sebanyak RM7 juta setahun," katanya yang juga pengerusi PKNS pada sidang media yang dilaporkan di Shah Alam, selangor hari ini. 

Selasa lalu, anak syarikat PKNS, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Holdings Sdn Bhd (PHSB) dilapor memecat kakitangannya tanpa sebarang sebab munasabah dengan notis 24 jam berkuatkuasa serta-merta. 

Kontroversi pemecatan tersebut berlaku ketika kemelut politik dalaman PKR Selangor masih bergolak antara kem Abdul Khalid dengan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali. — EdisiRakyat.com