Australia mahu jaminan Sirul tidak dihukum mati

,

EdisiRakyat.com
‎MEMETIK email jawapan rasmi daripada Jabatan Peguam Negara Australia, sumber berita tempatan melaporkan  "Perundangan Ekstradisi Australia tidak membenarkan seseorang untuk diserahkan ke negara lain atas kesalahan yang boleh dikenakan hukuman mati, kecuali negara tersebut membuat perjanjian untuk tidak mengenakan hukuman mati terhadap orang tersebut"‎.

Australia dilaporkan mahu Malaysia berjanji untuk tidak mengenakan hukuman mati terhadap bekas Unit Tindakan Khas, Polis, Sirul Azhar Umar (gambar kanan) yang didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan Malaysia atas tuduhan membunuh model Monggolia, Altantuya Shaariibu‎u sebelum negara itu bersetuju untuk menyerahkannya kepada pihak berkuasa Malaysia.

Menurut jurucakapnya, Peguam Negara Australia dilapor memaklumkan bahawa ia sudah‎ menjadi amalan biasa di mana Kerajaan Australia tidak memberi ulasan secara terbuka berhubung perihal ekstradisi, termasuk sama ada ia ada menerima permohonan ekstradisi sehingga orang yang diburu ditahan atau dibawa ke muka pengadilan untuk tujuan itu.

Sirul, 43 dilaporkan telah berada di Australia sejak bulan November tahun lalu.‎

Selasa lalu, Sirul dilaporkan tidak hadir ke Mahkamah Persekutuan di mana hukuman mati ke atasnya dan bekas Ketua Inspektor Azilah Hadri, 38 (gambar kiri) dijatuhkan‎ kerana sabitan tuduhan membunuh Altantuya pada bulan Oktober, 2006. Oleh itu mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara akan membawa perkara ini ke Mahkamah Australia sekiranya kerajaan Australia terus berkeras untuk tidak menyerahkan Sirul kepada Malaysia.

Menurutnya lagi, seperti dilaporkan, sepanjang pengetahuan beliau, pihak Polis Malaysia masih berbincang tentang hal ekstradisi‎ dengan pihak berkuasa Australia. — EdisiRakyat.com