Padah akibat sertai parti seks dan dadah

,

EdisiRakyat.com
‎‎‎MALANG bertimpa-timpa buat lima wanita dan lapan lelaki masing-masing yang bakal berdepan tuduhan berganda ‎di mahkamah majistret atas dakwaan terlibat dengan parti seks dan dadah. Sekiranya disabitkan kesalahan, mereka terpaksa menanggung hukuman penjara yang lama atau denda atau kedua-duanya lapor sumber berita tempatan. 


Mereka adalah sebahagian daripada 29 orang yang ditangkap oleh pihak polis di sebuah hotel di Klang, Selangor pada 11 Jan lalu.

Dalam kandang tertuduh, mereka adalah Nurul Amyra Yemsi, 25; Nur Amaliena Shahrul, 20; Nur Amielda Ilyna Hanip, 20; Azlina Mat Hassan, 22; Zahrotul Jannah Victor, 20; Nur Mohammad Raihan Abdullah Sani, 25; Nor Ariffin Jailani, 31; Mohd Zularfi Ellias, 22; Abdul Halim Meor, 29; Muhammad Hanief Jaafar, 28; Muhammad Zhafran Abdul Malik, 24; Mohammad Khaibun Naim Zubair, 23; dan Muhammad Fikree Kaharuddin, 23.

Muda-mudi itu masing-masing dilaporkan menghadapi tiga pertuduhan memiliki 0.68gm Ketamine, 0.75gm pil-pil Eremine-5 ‎dan 5.01gm pil-pil ecstacy.

Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Merbahaya 1952, dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan kesalahan tersebut boleh dihukum di bawah seksyen 12(3) akta yang sama.‎

Jika mahkamah mensabitkan kesalahan, mereka masing-masing boleh dipenjara sehingga 5 tahun, dan denda sehingga RM100,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap tiga kesalahan tersebut.‎

Turut dilaporkan bahawa mereka juga didakwa di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana memiliki lima liter cecair yang dipercayai Jus Daun Ketum‎.

Di bawah Seksyen 30(5) akta tersebut, hukuman maksimum 5 tahun penjara atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-dua sekali boleh dikenakan jika disabitkan bersalah.‎

Timbalan Pendakwaraya Rizal Azani Zainal Adzam memohon mahkamah menetapkan wang ikat jamin sebanyak RM8,000 bagi setiap tiga pertuduhan dan RM4,000 bagi pertuduhan keempat.

Bagaimanapun, Majistret Mariam Maran Abdullah @ Lucia Muda Maran mengurangkan permintaan wang jaminan oleh pihak pendakwa kepada RM6,000 namun memerlukan seorang penjamin bagi setiap tiga pertuduhan, manakala wang ikat jamin bagi pertuduhan keempat dikurangkan separuh kepada RM2,000.

Mahkamah menetapkan 25 Feb akan datang untuk sebutan semula kes — EdisiRakyat.com