Bangsat sangatkah kita? — Sheikh Ali Omar

,

EdisiRakyat.com
Perhimpunan BERSIH 4 yang lalu pada saya amat berjaya. Portal berita dan penganalisis menganggarkan kehadiran peserta mencecah 500,000 orang.
Ini menjadi bukti bahawa rakyat Malaysia sedar sesuatu yang tidak kena sedang melanda Malaysia.
Saya amat yakin bahawa ramai lagi rakyat di luar sana yang sedar bahawa tindakan segera perlu diambil untuk menangani isu politik dan ekonomi negara.
Mungkin mereka tidak keluar ke ibu kota pada 29 dan 30 September lalu atas pelbagai faktor, tetapi kesedaran itu pastinya wujud, lebih-lebih lagi di kalangan generasi muda.
Kajian oleh badan kajian politweet.org mendapati sebanyak 76.62 peratus pengguna twitter di Malaysia menyokong perhimpunan BERSIH 4.
Meskipun maksud sokongan mereka mungkin berbeza-beza, jelas sekali bahawa lapisan rakyat yang celik media baru melihat terdapat masalah dalam tindakan pentadbiran Malaysia.
Saya turut menyertai himpunan BERSIH 4. Mungkin orang seperti sayalah yang layak digelar “Melayu bangsat” seperti pandangan sesetengah pemimpin suci Umno kerana terlibat dengan perhimpunan ini.
Namun ternyata perhimpunan ini berjalan dengan aman, rukun dan sangat patriotik selama 34 jam sehinggalah saat bersurai 12.00 malam 30 Ogos.
Saya tidak pernah ketinggalan menyertai kesemua siri perhimpunan ini bermula dengan himpunan BERSIH 1 pada 2007, seterusnya BERSIH 2 pada 2011 dan BERSIH 3 (duduk dan bantah) pada 2012.
Saya turut menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat (KL112) pada Januari 2013.
Setiap himpunan gergasi ini punya objektif khusus yang ingin dicapai. BERSIH 4 juga mensasarkan lima tuntutan khusus.
Tuntutan pertama adalah untuk membersihkan sistem pilihan raya – memandangkan Umno dan BN terus kekal berkuasa walau 52 peratus undi popular dalam pilihan raya umum ke-13 memihak kepada Pakatan Rakyat.
Tuntutan kedua adalah menuntut sebuah kerajaan yang bersih. Ini tidak sukar untuk dihurai apabila isu-isu seperti skandal 1MDB, “derma” RM2.6 bilion dan cukai GST terpaksa dihadap oleh rakyhat setiap hari.
Tuntutan ketiga ialah hak untuk membantah. Dalam sebuah negara yang demokratik, membantah bukanlah suatu jenayah. Asalkan ia tidak tergelincir dari lunas-lunas demokrasi dan kerangka perlembagaan, hak membantah adalah hak untuk semua warga.
Lihat sahaja himpunan BERSIH 4, asalkan tiada ugutan, tekanan dan provokasi, rakyat bijak mengurus diri bagi memastikan himpunan berlangsung dengan aman dan selamat.
Tuntutan keempat ialah pengukuhan demokrasi berparlimen agar parlimen benar-benar dapat berfungsi untuk membahas dan merangka dasar-dasar yang baik untuk negara. Maka, tidaklah parlimen menjadi sekadar simbol semata-mata.
Tuntutan kelima ialah untuk menyelamatkan ekonomi Malaysia memandangkan nilai ringgit kini semakin menjunam.
Bagi orang kecil seperti saya, cukuplah pengalaman diri sendiri menjadi pemangkin untuk saya menjadi sebahagian daripada BERSIH 4.
Bagi anak muda berusia 30-an seperti saya, membesarkan dua orang anak yang masih kecil tanpa isteri di sisi cukup menginsafkan.
Isteri saya berkerja nun jauh di seberang laut untuk mendapatkan gaji yang lebih baik. Beliau terpaksa melepaskan peluang mendidik anak-anak dengan tangan sendiri.
Peluang ini hanya datangnya hanya sekali seumur hidup, pastilah ia amat membungkam perasaan dan naluri seorang bergelar ibu.
Mungkin kami terlalu taksub untuk mendapatkan pendidikan serta kehidupan yang sempurna dan terbaik untuk keluarga dan anak-anak.
Saya pula bukanlah tidak berkerjaya, jauh sekali seorang suami yang pemalas yang tidak memiliki pendapatan untuk menampung rumah tangga. Kami saling memahami keadaan ini.
Namun, mungkin dosa pasangan suami isteri muda seperti kami adalah kerana terlalu taksub untuk memberikan yang terbaik buat keluarga dan anak-anak.
Ketaksuban ini pastinya menelan kos perbelanjaan agak besar. Lantas, atas banyak hambatan kehidupan, pengorbanan harus dilakukan untuk perkara tersebut.
Ini bukanlah luahan rasa seperti dalam video graduan undang-undang, Siti Azzahra Abd Razly. Pun begitu, sedikit sebanyak apa yang Zahra alami ada persamaannya dengan situasi kami.
Keadaan ini menjadi obor pembakar semangat dalam diri saya untuk mengambil bahagian dalam apa juga gerakan dan proses demokrasi untuk mencorakkan perubahan ke arah Malaysia yang lebih baik.
Pada saya, Malaysia rumah saya. Rumah semua bangsa Malaysia berteduh di bawahnya. Tidak wajar rumah ini diambil manfaat besar oleh beberapa kerat pemimpinnya sahaja sehingga ada warga yang terpaksa menanggung derita dan mencari makan di rumah orang lain.
Keadaan ini tidak melemahkan kami. Bahkan, ia menjadikan kami lebih teguh untuk berkerja keras bukan sahaja demi survival keluarga dan anak-anak tetapi juga seluruh generasi anak Malaysia.
Saya cukup yakin, ramai anak muda seperti kami yang turut bergelut dengan permasalahan sama. Bezanya cuma, mungkin ramai dari kalangan mereka yang telah merasa seakan-akan berada pada zon selesa. Kata orang, alah bisa tegal biasa.
Mungkin ramai yang berasa OK dengan tabiat membayar hutang PTPTN sebaik sahaja tamat pengajian sekalipun belum mendapat pekerjaan.
Ada yang selesa menambah hutang piutang di bank yang belum tentu langsai di akhir usia. Lebih malang ada juga yang disenarai hitamkan untuk itu dan ini tatkala usia masih muda dan baru ingin memulakan kehidupan berkeluarga dan berkerjaya.
Salahkah mereka? Mungkin tidak salah. Namun bagi pasangan muda yang taksub dengan kehidupan seperti saya dan isteri, saya fikir kita tidak wajar hidup bagai pengemis kerana Malaysia memiliki segala sumber kekayaan buminya.
Pemimpinnya pula mendapat derma berbilion ringgit. Bangsat sangatkah kita?
Oleh itu, BERSIH 4 dan siri-siri himpunan rakyat sebelum ini amat penting dan bermakna bagi saya. Juga bagi isteri yang berada jauh dan anak-anak yang menerima kesan langsung akibat keadaan Malaysia yang sakit hari ini.
Kerap juga sebelum tidur, selepas anak-anak melepaskan rindu menerusi panggilan Internet dengan ibunya, saya bisikkan ke telinga mereka. Inilah perjuangan. Supaya kamu tidak menjalani kehidupan sama pada masa hadapan nanti.
Entah mereka faham atau tidak, saya optimis sahaja.
SHEIKH OMAR ALI, Pegawai khas kepada Ahli Parlimen Kluang