Jamal ancam satu lagi himpunan dan mungkin 'rusuhan' di Petaling Street

,

EdisiRakyat.com

KETUA Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos mengancam untuk mengadakan satu lagi demonstrasi pada hari Sabtu ini di Petaling Street, dan turut menyatakan kemungkinan berlakunya rusuhan sekiranya permintaan baju merah tidak dipenuhi lapor The Star.

"Jika pihak berkuasa tidak mengambil tindakan, saya yakin 99%, akan berlangsung perhimpunan‎, mungkin rusuhan juga akan terjadi," kata beliau kepada wartawan dalam satu sidang media yang diadakan di Balai Polis Ampang Jaya, selepas membuat laporan polis terhadap tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepadanya di media sosial dan whatsapp.


Jamal juga dilaporkan berkata, ribuan peserta yang menyertai himpunan pada 16 September lalu akan kembali berhimpun di Petaling Street pada hari Sabtu.

Jamal dilaporkan bertindak sebagai pengantara, antara kumpulan baju merah dan pihak berkuasa.

Antara permintaan kumpulan baju merah seperti yang dilaporkan ialah, menggesa Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan supaya mengambil tindakan terhadap penjualan barang-barang yang dikatakan palsu di Petaling Street, meminta peniaga berkongsi sebahagian daripada pendapatan dengan bangsa lain dan berhenti monopoli kawasan tersebut.

"Terpulang kepada pihak berkuasa, jika mereka tidak mengambil tindakan selewat-lewatnya hari Jumaat, jika berlaku perhimpunan, saya tidak bertanggung jawab," katanya lagi.

Jamal bagaimana pun tidak memberitahu sama ada beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Persatuan Peniaga-peniaga Petaling Street.

Para peserta kumpulan baju merah dijangka akan bertemu dengan Jamal pada hari Khamis untuk satu lagi perbincangan.

Pada 16 September lalu, ribuan peserta kumpulan baju merah berhimpun dan cuba masuk ke Petaling Street‎. Namun dihalang oleh pihak polis mengakibatkab dua orang polis dan seorang peserta himpunan cedera. — 23 September 2015, EdisiRakyat.com.