Rusiah Suar jemaah haji Malaysia pertama disahkan terkorban dalam nahas kren tumbang

,

EdisiRakyat.com
JEMAAH haji dari Malaysia, Rusiah Suar, 56, yang berasal dari Sungkai, Perak dikenal pasti sebagai seorang daripada 107 mangsa yang dilaporkan terkorban dalam tragedi kren tumbang di Masjid Al-Haram, pada Jumaat lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam sidang media tergempar di TH Hotel dilaporkan sebagai berkata waris lain diharap dapat terus bersabar dan berdoa kerana Tabung Haji (TH) akan terus berusaha sedaya upaya untuk mencari mangsa di hospital berdekatan. 

"Kita akan memastikan segala proses pengecaman diselesaikan secepat mungkin. 

"Kita akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa," kata Jamil Khir. 

Sebelum ini, lapan jemaah haji Malaysia dilaporkan masih gagal dikesan pihak pengurusan TH susulan insiden kren tumbang yang mengorbankan 107 nyawa dan mencederakan 237 yang lain. 

Tujuh lagi jemaah Malaysia yang masih hilang ialah Abdul Habib Lahman, 68, dari Sik, Kedah; Shahidan Saad, 52, dari Kodiang, Kedah; Zainun Taha, 69, dari Ampang, Selangor; Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai, Kelantan; Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku, Kelantan; Siti Nuroshlizan Zolkifli, 37, dari Tanah Merah, Kelantan; dan Abdul Muluk Ishak, 71, dari Pantai Remis, Perak.‎ — EdisiRakyat.com