Mahasiswa dirogol dan dirakam teman lelaki baru dikenali

PERKENALAN singkat dengan seorang lelaki melalui aplikasi SweetRing kira-kira sebulan lalu akan menjadi mimpi ngeri seumur hidup seorang mahasiswa yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Kedoktoran di salah sebuah universiti awam negara ini apabila teman lelakinya itu bertindak merogol dan merakam aksi tersebut.

Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada Khamis lalu itu, mangsa berusia awal 30-an melarikan diri daripada teman lelakinya itu selepas dirogol apabila kereta yang dinaikki mereka singgah di salah sebuah stesen minyak di Senawang setelah mangsa memberikan alasan untuk ke tandas.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hanya berhubung dengan lelaki terbabit melalui aplikasi berkenaan dan dua minggu selepas berkenalan, mereka bertukar-tukar nombor telefon serta berjanji untuk bertemu.

Mereka berjanji berjumpa di salah sebuah tol dan mangsa telah meletakkan kenderaannya di tol berkenaan sebelum menaiki kenderaan suspek jenis Perodua Viva.

Mangsa dibawa ke sebuah kolej di Melaka memandangkan kenalannya itu mahu mengambil barangan penting. Sesudah suspek mengambil barangan berkenaan, mangsa memohon suspek segera menghantarnya pulang namun lelaki itu mulai berubah sikap menjadi bengis.

Suspek juga menyatakan terpaksa menukar kereta di Seremban sebelum menghantar mangsa pulang kerana kereta berkenaan mengalami masalah peningkatan suhu enjin.

Memetik kenyataan sumber, mangsa dilaporkan semakin bimbang dan takut apabila dia dibawa melalui kawasan terpencil yang dikelilingi kelapa sawit.

Suspek menyuruh mangsa memeluknya, namun mangsa enggan dan suspek mula bertindak ganas dengan memaksa mangsa memuaskan nafsunya.

Lebih malang lagi, lelaki itu bertindak jahat dengan merakam adegan berkenaan. Sesudah itu, suspek meneruskan perjalanan bagi menghantar mangsa dan singgah di salah sebuah stesen minyak di Senawang.

Mangsa dilaporkan telah meminta pertolongan daripada kakitangan stesen minyak yang kebetulan berada di dalam tandas.

Suspek beredar dari stesen minyak berkenaan, namun datang kembali serta meletakkan beg tangan mangsa di kaunter stesen minyak berkenaan.

Mangsa kemudian memeriksa beg tangannya dan mendapati telefon bimbitnya jenis Iphone 6, seutas rantai berserta loket berukir namanya dan wang tunai sebanyak RM60 lesap.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif dilaporkan berkata, mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Pedas, malam Jumaat lalu.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, lokasi kejadian di tepi jalan di sebuah premis di Pedas yang merupakan kedai rakan suspek yang sudah tidak lagi beroperasi.

"Suspek berusia 22 tahun yang beralamat di Rembau sudah ditangkap dan kini ditahan reman," katanya — EdisiRakyat.com, 31 Ogos 2016

Post a Comment

Previous Post Next Post