Identiti pelakon drama ditahan tanam pokok ganja terbongkar

,

EdisiRakyat.com
IDENTITI pelakon drama tempatan yang tidak kurang popular, Aidil Aziz didedahkan sebagai selebriti yang ditahan bersama dua lagi rakannya. Beberapa pokok ganja yang ditanam dalam pasu serta senjata berbahaya turut dirampas.

Aidil atau nama sebenarnya Mohd Aidil Abdul Aziz, 28 ditahan polis bersama dua lagi suspek di sebuah rumah di Ampang pada jam 12:40 tengah hari Ahad.




Ketika serbuan, polis dilaporkan turut merampas tujuh bilah pedang samurai, 21 bilah pisau, tiga buku lima, 4 pucuk pistol angin, 2 laras senapang angin sebilah kapak, dan sehelai vest dengan Logo Polis di Raja Malaysia, PDRM.

Beberapa pokok ganja yang ditanam di dalam pasu serta daun kering dalam bekas kaca yang dipercayai ganja serta satu pengisar dengan sisa daun kering yang tururt dipercayai sebagai ganja juga dirampas.

Antara lain beberapa barang yang dirampas dalam serbuan sama ialah biji benih pokok ganja, lampu spotlight, baja dan satu penyembur air.

Kes tersebut disiasat di bawah seksyen 6B Akta Dadah Merbahaya 1952, Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952, Seksyen 4 Senjata Api 1960 dan Seksyen 7(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan letuoan dan senjata berbahaya 1958. — EdisiRakyat.com, 26 September 2016