Pencuri tayar kereta tinggalkan nota mohon maaf kerana terdesak

,

EdisiRakyat.com
PENCURI tidak dikenali yang dikatakan terdesak untuk mengumpulkan wang bagi membiayai pembedahan kakaknya, meninggalkan sekeping nota permohonan maaf di atas cermin depan kereta yang baru dicuri keempat-empat tayarnya.

Gambar sebuah kereta jenis Proton Waja di lokasi yang tidak diketahui, dengan ketiadaan keempat-empat tayar tersebar di media sosial Facebook sejak semalam.

Tayar kereta tersebut dikatakan telah dicuri sebelum itu, hanya beberapa ketul batu-bata dijadikan penyendal bagi mengelakkan badan kereta daripada mencecah permukaan jalan.




Namun pencuri yang barangkali merasa bersalah atas tindakannya telah meninggalkan satu catatan di atas sekeping kertas dengan tulisan seperti berikut:

Kepada tuan:
Saya minta maaf atas sebab kesulitan mencari duit untuk membiayai modal pembedahan kakak, saya mengambil keputusan mengambil dan meminjam tayar tuan, — terima kasih maafkan saya.

Dari catatan nota yang ditinggalkan, nampaknya individu yang menulis hanya mahu meminjam keempat-empat tayar tersebut kerana terlalu terdesak untuk mendapatkan wang.




Namun entah bila pula tayar itu akan dipulangkan. Mungkin sebulan dua lagi, atau lebih lama dari itu. Apa yang pasti, pemilik kereta tentu sedang 'pening kepala' memikirkan sejumlah wang yang perlu dikeluarkan untuk membeli tayar kereta yang baru.

Mungkin juga kemarahan tuan punya kereta melihat barang kepunyaannya dicuri, sedikit reda disimbah rasa simpati terhadap pencuri yang sedang terdesak melalui catatan nota tersebut.

Setiap perkara buruk yang berlaku sentiasa datang bersama kebaikan, semoga pemilik kereta ini bersabar untuk menunggu kebaikan yang bakal menjelma tidak lama lagi. — EdisiRakyat.com, 30 September 2016