Tweet Jeff Ooi punca pengikut buat kenyataan hina Islam kata Ketua Polis Negara

EKORAN tulisan kontroversi di Twitter berhubung kematian Mursyidul Am PAS, Datuk Haron Din oleh Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi telah menyebabkan beberapa orang membuat kenyataan menyinggung dan menghina Orang Islam kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Dalam sidang medianya, Khalid turut menasihatkan ahli politik agar berhati-hati dan berfikir sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menyinggung perasaan bangsa dan agama lain.




"Jadi saya nasihatkanlah, ahli politik ni, seperti Jeff Oi, yang mulut gatal ni supaya berhati-hati di dalam membuat apa juga percakapan, posting. 

Fikir dulu, fikir sepuluh kali sebelum buat apa juga posting yang boleh menyinggung perasaan bangsa lain, agama lain, jangan ikut sedap mulut saja," katanya.

"Bila pemimpin masyarakat, seorang ahli parlimen membuat komen-komen sedemikian, jadi pengikut-pengikut dia akan buatlah, dia ingat boss dia buat dia pun ikutlah buat," katanya lagi.

Dalam sidang media yang sama, Khalid turut memaklumkan bahawa Ahli Parlimen DAP itu kini sedang disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menggesa Jeff Ooi agar bersedia menghadapi apa jua tindakan undang-undang.

Jeff Ooi dikecam oleh pelbagai pihak termasuk partinya sendiri sebelum ini kerana mengeluarkan 'tweet' yang disifatkan tidak sensitif berhubung kematian Datuk Haron Din.

Pihak Polis mengesahkan sebelum ini bahawa dua individu ditahan kerana didakwa menghina Islam di Laman Sosial berhubung kematian Haron Din — EdisiRakyat.com, 19 September 2016

Previous Post Next Post