Kedai jual nombor judi haram dekat rumah KPN disamun (video)

,

EdisiRakyat.com
SEBUAH kedai menjual nombor judi ekor haram 4D dikatakan terletak berdekatan dengan rumah ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar telah disamun oleh dua lelaki yang salah seorangnya membawa senjata berupa parang panjang.

Kejadian yang dirakam melalui CCTV itu didedahkan oleh Pengerusi NGO Pemantau Jenayah, MyWatch Dato' Sri Sanjeevan Ramakrishnan melalui akaun facebook miliknya.

Sanjeevan dalam kirimannya di Facebook mendakwa, kedai judi ekor haram itu terletak hanya 200 meter dari rumah Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di Kampung Gebok, Mantin Negeri Sembilan.


"MyWatch dedahkan rakaman CCTV sebuah pusat judi ekor 4D haram disamun. Kejadian dipercayai berlaku di salah sebuah pusat perjudian ekor haram di Mantin yang terletak lebih kurang 200 meter dari rumah IGP Khalid Abu Bakar di Kpg Gebok Mantin." tulisnya.

Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai satu tamparan kepada skuad STAGG/ D7 Polis di Raja Malaysia, PDRM yang dikatakan gagal membanteras aktiviti perjudian seperti itu.




Dalam pada itu, Sanjeevan turut mempersoalkan sama ada Polis akan memberi fokus penuh untuk menangkap penyamun, atau tauke judi haram tersebut.


"Sekarang polis akan berikan fokus penuh untuk menangkap penyamun atau tauke judi haram tersebut? Tauke judi akan diberikan perlindungan di bawah Withness Protection Act?" soalnya.

Sebuah rakaman CCTV yang berdurasi 1 minit memaparkan satu kejadian samun bersenjata, melibatkan dua orang lelaki memakai topi keledar bersenjatakan parang melakukan jenayah samun di sebuah premis.

Salah seorang daripada dua lelaki yang tidak dikenali dalam rakaman itu dilihat mengeluarkan sebilah senjata berupa parang panjang, seterusnya mengarahkan beberapa orang pelanggan untuk keluar sebelum melakukan samun dengan memaksa penjaga premis tersebut menyerahkan wang.




Tinjauan EdisiRakyat.com mendapati video tersebut mula tersebar di laman sosial facebook sejak semalam di beberapa halaman facebook popular. (Sila klik untuk menonton video) — EdisiRakyat.com, 4 Oktober 2016