Ads Top

Kucing sesat yang keletihan di tengah laut diselamatkan pekerja alam sekitar

SEEKOR kucing malang yang sesat kelihatan sedang berenang di tengah lautan sejauh kira-kira sebatu dari tepi pantai. Kejadian ini disaksikan oleh pegawai serta pekerja alam sekitar yang sedang mengalihkan sampah di kawasan pantai tersebut.

Mereka terkejut melihat haiwan itu yang berenang semakin lama semakin menjauhi pantai.

Kucing itu dilihat sangat letih selepas berenang begitu jauh malah, boleh dilihat beberapa ekor burung camar cuba menyerangnya.

Mujur pegawai alam sekitar yang berada di sekitar tempat kejadian mengambil tindakan drastik untuk menyelamatkan kucing itu dengan menghampirinya menggunakan bot.

Salah seorang dari mereka cuba mengaut kucing itu dengan menggunakan jaring yang tergantung di hujung sebatang kayu, malangnya kucing itu mengelak dari termasuk ke dalam jaring kerana takut ditangkap. Malah ia semakin menjauhi jaring tersebut.



Bagaimanapun pasukan penyelamat belum putus akal, mereka kemudiannya cuba menukar taktik dengan menurunkan perkakas besi berbentuk empat segi yang sering digunakan untuk mengalihkan sisa pepejal dari permukaan air menghampiri haiwan tersebut.

Seketika kemudian kucing itu terus memanjat ke atas permukaan besi itu sebelum terus melompat masuk ke dalam bot.

Mereka kemudian menurunkan kucing itu di pelabuhan daerah Ayvansaray di Istanbul, Turki, tempat dikatakan di mana ia berasal sebelum tersesat ke tengah laut.

Para pekerja bertindak demikian setelah yakin ia berada dalam keadaan sihat dan selamat mengalami insiden itu.

Krew bot itu berkata mereka tidak tahu bagaimana kucing itu boleh berenang begitu jauh ke tengah laut. Mereka turut mendakwa tidak pernah melihat keadaan seperti itu sebelum ini. — EdisiRakyat.com, 29 Oktober 2016





Powered by Blogger.