Ads Top

Hidung berdarah dan tersumbat mungkin petanda hidap barah

KERAP kali dilaporkan berlaku terhadap individu yang mengalami masalah hidung berdarah atau tersumbat setelah berjumpa dengan doktor mereka terkejut apabila disahkan menghidap barah pangkal hidung atau dalam bahasa perubatannya dikenali sebagai nasopharyngeal carcinoma, (NPC).

Secara lazimnya ramai di kalangan penghidap tidak menyedari gejala-gejala yang berlaku di persekitaran hidung atau muka sebenarnya mungkin berkait rapat dengan NPC sehinggalah berlakunya simptom seperti hidung berdarah atau bengkak di bahagian leher. 


Lebih malang lagi ia boleh 'memakan' bahagian-bahagian di persekitaran hidung sekiranya lambat mendapat diagnosis.

Menjelaskan lebih lanjut mengenainya menurut pakar runding telinga, hidung, dan tekak, (ENT) Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Dr Abd Razak Rahman Hamzah, tumor atau ketumbuhan ini terbahagi kepada 2 kategori iaitu ketumbuhan benigna (tidak berbahaya) dan juga ketumbuhan malignant (berbahaya).

"Simptomnya lebih kurang sama walau bagaimanapun simptom yang lazim adalah hidung tersumbat dan berdarah, pada peringkat awal ia tumbuh dalam saiz yang agak kecil kemudian membesar sehingga menyebabkan hidung tersumbat sekaligus menyebabkan saluran sinus turut tersumbat."

"Apabila saluran sinus tersumbat ia akan menyebabkan jangkitan sinus atau takungan dan membuatkan seseorang itu akan berhingus banyak dari hingus biasa yang mungkin akan bernanah atau berdarah," jelasnya.

Selain itu simptom-simptom lain NPC adalah telinga berdesing atau kurang pendengaran, sakit di bahagian mata dan kepala, serta bengkak di bahagian leher.

Menyentuh kemungkinan sama ada penghidap resdung juga berpotensi untuk menghidap NPC, tambah doktor Razak ia sukar untuk diperkatakan kerana lazimnya ia datang secara serentak.

"Jarang orang yang cuma ada ketumbuhan tetapi tidak ada tanda-tanda jangkitan sinus. Ketumbuhan itu selalunya menyebabkan orang tersumbat hidung sementara istilah resdung adalah jangkitan dalam sinus."

"Selalunya berkaitan tetapi bukan itu yang menyebabkan ketumbuhan, gejala ketumbuhan itu selalunya sama dengan gejala resdung, jangkitan sinus itu mungkin kalau diberi ubat boleh baik begitu juga kalau ada ketumbuhan mungkin boleh baik bergantung pada jenis ketumbuhan berkenaan," jelas Dr Razak.

RAWATAN

Dari segi kaedah rawatan perlu dipastikan terlebih dahulu jenis masalah berkaitan daripada diagnosis ini barulah kaedah rawatan sesuai digunakan sama ada secara pembedahan radiasi kimoterapi atau kombinasi pembedahan dengan kimoterapi.

"Lazimnya pemeriksaan awal doktor akan membuat endoskopi (pemeriksaan dalam hidung) untuk mengesahkan ada ketumbuhan atau sebaliknya untuk orang yang ada simptom seperti itu. Melalui diagnosis doktor akan mengambil sedikit daging daripada kawasan yang mempunyai ketumbuhan untuk mengesahkan ada sel barah atau tidak,"

"Justeru kita siarkan mereka datang untuk membuat pemeriksaan jika mempunyai simptom berkaitan," jelasnya lagi.

Mereka yang berisiko tinggi mendapat penyakit

Berikut adalah kebarangkalian mereka yang berisiko mendapat penyakit ini:

1. Lelaki 3 kali lebih tinggi kebarangkalian berbanding wanita (3:1)
2. Umur sekitar 35 tahun
3. Faktor genetik
4. Mereka yang gemar makan makanan yang diawet sejak kecil, seperti ikan masin, jeruk dan sebagainya.

Simptom (petanda) awal

1. Hidung berdarah
2. Hidung tersumbat dan sukar bernafas dengan betul
3. Telinga berdengung dan kurang pendengaran

Simptom lewat (sel barah sudah merebak dan menyerang bahagian berkaitan saraf)

1. Bengkak pada leher
2. Sakit mata dan diplopia atau double vision
3. Sakit kepala yang kronik
4. Sakit pada tulang kaki atau belakang

Rawatan

1. Pembedahan/biopsy untuk mengesahkan barah
2. Radiasi
3. Kimoterapi
Powered by Blogger.