Cara baru menghilangkan bau ketiak busuk kaedah pemindahan bakteria — Kajian

ANDA memiliki bau ketiak yang sangat busuk? Bau badan individu yang tidak menyenangkan ini telah dikenalpasti berpunca daripada bakteria yang tinggal di permukaan bawah kulit.

Bagaimanapun tahap bau busuk bagi setiap individu adalah berbeza. Ada yang baunya sangat busuk mampu membuatkan orang di sekeliling jadi pening kepala.



Namun bagi segelintir individu, bauan ketiaknya tidaklah terlalu teruk atau boleh dikatakan tidak busuk langsung walaupun tidak mandi beberapa hari.

Seluruh badan kita dipenuhi atau dilitupi dengan bakteria yang sentiasa membiak bersama dan ia mampu memberi kesan terhadap kesihatan kita.

Kulit kita juga memiliki populasi bakteria (microb) sendiri, jenisnya berbeza bagi kawasan yang berbeza. Bakteria yang tinggal di bawah ketiak bahu kanan anda mungkin merupakan jenis yang berbeza berbanding yang berada di bawah ketiak bahu kiri anda.

Bakteria-bakteria yang tinggal di situ mungkin memainkan peranan penting menghasilkan bahan-bahan meruap sekaligus memberikan bau kepada peluh seseorang individu kata Chris Callewaert dari University of California, San Diego.

Beberapa tahun yang lalu, Callewaert telah bertemu dengan sepasang kembar seiras — salah seorang daripada mereka mempunyai bau badan yang sangat busuk.

Callewaert mengesyaki sejumlah bakteria-bakteria yang tinggal di bawah ketiak kembar tersebut mungkin jadi penyebab kepada bau badan mereka yang berbeza.

PEMINDAHAN BAKTERIA

Mula-mula sekali Callewaert menyuruh salah seorang kembar yang badannya tidak berbau untuk menahan diri daripada mandi atau membersihkan badan selama 4 hari.

Ini kerana bakteria yang tinggal di ketiak kita hidup di bahagian dalam kulit, ia mengambil masa beberapa hari bagi membolehkannya timbul ke permukaan bersama dengan sel-sel kulit yang telah mati.

Dalam masa yang sama, seorang lagi kembar yang mempunyai bau badan yang busuk, diarah untuk menggosok ketiaknya setiap hari menggunakan sabun antibakteria selama 4 hari.

Tujuan adalah untuk memusnahkan sebanyak mungkin bakteria yang tinggal di bawah ketiaknya, bagi menghasilkan medium yang bersih untuk pembiakan bakteria yang bakal diambil daripada kembarnya yang satu lagi.

Callewaert kemudiannya mengambil sel-sel kulit mati (yang dipenuhi bakteria) daripada si kembar yang tidak mempunyai bau badan, lalu disapukan pada ketiak si kembar yang badannya berbau busuk.

HASILNYA

Hasilnya, masalah bau badan yang dihadapi oleh kembar tersebut hilang dengan pantas.

"Kesannya setakat ini telah berlanjutan selama setahun, kami sangat gembira dengan keputusan itu," kata Callewaert.

Semenjak dari itu, Callewaert bersama dengan rakan-rakannya telah mengulangi proses tersebut terhadap 17 lagi pasangan. Dalam setiap kes, salah seorang daripada pasangan mempunyai masalah bau badan.

Manakala seorang lagi merupakan saudara dekat yang sanggup untuk mendermakan bakteria daripada ketiak mereka.

Sebelum dan selepas pemindahan bakteria, tahap bau busuk ketiak setiap individu yang dikaji dinilai oleh seorang "pakar bau badan" kata Callewaert.

Daripada 18 pasangan yang melalui ujikaji tersebut, 16 menunjukkan peningkatan terhadap bau badan dalam masa sebulan. Separuh daripada kumpulan itu, menunjukkan peningkatan jangka panjang sehingga tiga bulan atau lebih.

Callewaert telah membentangkan hasil kajian itu di Karolinska Dermatologi Symposium Stockholm Sweden bulan lalu. — EdisiRakyat.com, 12 Februari 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post