Ads Top

Kenali kontraksi palsu atau braxton hicks


SAAT menunggu kelahiran, pelbagai perasaan dirasakan. Kadang-kadang anda merasa keliru apabila merasa kesakitan yang berulang-ulang di penghujung kehamilan dan ini menyebabkan anda merasa seolah-olah saat melahirkan telah tiba. Ini membuatkan anda tertanya-tanya sama ada perlukah anda segera ke hospital lebih-lebih lagi jika ini adalah kehamilan pertama anda.

Hakikatnya, ramai yang segera ke hospital apabila terdapat tanda-tanda kontraksi. Malangnya apabila ke hospital, doktor mengesahkan bahawa ianya kontraksi palsu atau dikenali sebagai braxton hicks dan belum tiba masanya untuk anda melahirkan bayi.



Dengan itu, adalah penting bagi anda untuk mengenali ciri-ciri dan penyebabnya. Antaranya:

Kurang Air

Saat berada dalam proses kelahiran, tubuh kita akan menghasilkan sejenis hormon yang dipanggil pitokin. Hormon ini akan menyebabkan rahim mengecut bagi membantu proses kelahiran. Jika anda mengalami dehidrasi di penghujung kehamilan, ini akan menyebabkan rahim mengecut walaupun ketika itu belum tiba masanya untuk bersalin kerana terdapat sejenis hormon yang terhasil apabila tubuh kehilangan air yang mempunyai fungsi yang sama seperti hormon pitokin.

Jadi, anda perlu pastikan minum air secukupnya bagi mengelakkan anda menghadapi dihidrasi seterusnya mengelakkan kontraksi palsu.

Jarak kontraksi tidak tetap

Catat sela masa setiap kontraksi. Bagi kontraksi sebenar, jarak masa antara satu kontraksi dengan kontraksi berikutnya adalah tetap dan semakin lama semakin kerap. Contohnya, kontraksi berulang setiap sepuluh minit kemudian, setiap lapan minit dan semakin cepat.

Jika jarak masa antara satu kontraksi dengan satu kontraksi tidak tetap, contohnya jarak diantara kontraksi pertama sepuluh minit, kemudian dua minit, kemudian lapan minit, anda boleh dikatakan mengalami kontraksi palsu.

Tempoh kontraksi

Perhatikan tempoh masa bagi setiap kontraksi dalam proses kelahiran sebenar. Bagi proses kelahiran sebenar, anda akan mengalami kontraksi lebih daripada 30 saat bagi satu-satu masa dan kemudiannya semakin pendek. Manakala jika anda mengalami kontraksi palsu, tempohnya adalah tidak sekata.

Sakit di pangkal peha

Dalam proses kelahiran sebenar, kesakitan yang dialami bermula di bahagian atas kemudian merebak ke seluruh abdomen dan anda juga turut mengalami sakit belakang. Berbeza dengan kontraksi palsu kesakitan yang anda rasakan banyak tertumpu di bahagian bawah abdomen dan pangkal paha.

Tanda-tanda minor

Kontraksi palsu menyaksikan kesakitan yang dialami tidak teratur dan tidak dijangka dan perut anda mengeras saat kontraksi berlaku. Apabila anda mengubah posisi tubuh anda, kontraksi anda berkurangan dan adakalanya terhenti. Kebiasaannya, tiada pendarahan yang berlaku semasa kontraksi
palsu dan kantung air ketuban tidak pecah.

Dengan dapat mengesan kontraksi palsu dan kontraksi sebenar, anda sedikit sebanyak dapat mengetahui bilakah waktu yang sesuai untuk anda ke hospital dan mengelakkan anda membuang masa berulang alik ke hospital kerana kekeliruan tentang kesakitan yang anda alami. — EdisiRakyat.com, 2 Febuari 2017

Powered by Blogger.