Ketahui punca keracunan makanan dan 5 cara mudah mengelakannya

PERNAHKAH anda mengalami keracunan makanan? Sekiranya anda pernah mengalami cirit-birit beberapa jam selepas makan, bermakna anda telah mengalami keracunan makanan. Justeru anda perlu tahu tentang keselamatan makanan yang diambil.



Keselamatan makanan bermaksud makanan itu bersih daripada kuman berbahaya, racun, toksin, dan bersih daripada najis, serta bahan buangan yang lain.

Kemudaratan terjadi apabila berlaku pencemaran terhadap makanan atau minuman yang seterusnya boleh membawa kepada penyakit bawaan makanan seperti muntah dan cirit birit (diarrhea).

Sebenarnya penyebab kepada penyakit bawaan makanan ini boleh dikategorikan kepada tiga iaitu secara biologi, kimia, dan juga fizikal. Antara agen biologi adalah seperti bakteria kulat virus dan juga parasit.

PUNCA-PUNCA KERACUNAN MAKANAN

Walaupun 90 peratus kes penyakit bawaan makanan disebabkan oleh bakteria, namun sebenarnya hanya 4 peratus sahaja bakteria berbahaya yang wujud.

Makanan mentah serta yang kurang masak adalah antara tempat di mana bakteria berbahaya ini sering dijumpai seperti salmonella, shigella dan Escherichia coli (E. coli).



Selain bakteria, kulat juga boleh menyebabkan penyakit jangkitan makanan. Kulat boleh menghasilkan toksin yang akan menyebabkan ketoksikan makanan mudah dijumpai pada makanan seperti roti dan jem.

Tumbuhan seperti cendawan, makanan laut serta bahan kimia industri atau agrikultur, adalah salah satu contoh agen kimia bagi penyakit bawaan makanan.

Tumbuhan dan makanan laut menghasilkan toksin yang seterusnya menyebabkan keracunan seperti ikan buntal dan cendawan. 

Selain itu, itu bahan-bahan seperti kaca, batu, kayu, besi, serangga, dan lain-lain bahan asing di dalam makanan adalah dikategorikan sebagai bahan pencemaran fizikal.

5 CARA MUDAH BAGI MENGELAK KERACUNAN MAKANAN

1. Anda perlu sentiasa mengekalkan kebersihan. Penyumbang utama kepada masalah penyakit bawaan makanan adalah disebabkan oleh pengurusan dan penyediaan makanan yang tidak bersih.

Patogen yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan bukan sahaja boleh merebak melalui air dan makanan, tetapi juga melalui orang yang mengendalikan makanan.

Mengekalkan kebersihan bukan sahaja tertumpu kepada makanan malah turut meliputi individu yang menyediakan makanan.

Bagi individu ini haruslah sentiasa membasuh tangan sebelum dan selepas menyediakan makanan juga selepas menggunakan tandas bagi mengelakkan pencemaran bakteria.

Selain itu kebersihan di dapur juga penting di mana segala peralatan dan permukaan yang digunakan semasa penyediaan makanan dicuci serta disanitasi. Kawasan dapur dan makanan hendaklah dilindungi daripada serangga haiwan perosak dan haiwan-haiwan lain.



2. Makanan mentah dan yang telah dimasak hendaklah diasingkan terutama daging mentah, ayam, dan makanan laut. 

Gunakan peralatan bagi penyediaan bahan mentah seperti pisau dan papan pemotong yang berasingan di samping menggunakan bekas penyimpan bagi menyimpan makanan untuk mengelakkan kontaminasi bersilang antara makanan mentah dan yang telah dimasak.

Maksud kontaminasi bersilang adalah pemindahan bakteria atau mikroorganisma lain dari satu makanan ke makanan yang lain. Dalam bahasa mudahnya pencemaran silang berlaku apabila bakteria dan virus daripada permukaan tercemar berpindah kepada permukaan yang tidak tercemar.

Bakteria ini boleh datang daripada manusia, permukaan kerja dan peralatan, atau makanan lain.

3. Bagi untuk langkah pencegahan penyakit bawaan makanan adalah memasak dengan sempurna terutama bagi makanan yang mudah terdedah kepada bakteria seperti daging, ayam, telur, dan makanan laut.

Proses memasak dengan sempurna bukan sahaja dapat menambah kelazatan memudahkan penghadaman tapi juga bagi membunuh bakteria atau mikroorganisma secara berkesan pada makanan.

Umumnya memasak pada suhu didih selama 5 hingga 10 minit telah mencukupi untuk membunuh bakteria.

Namun perlu dipastikan bahawa semua bahagian makanan yang dimasak, terutama bahagian dalam makanan, mencapai kepanasan yang secukupnya iaitu sekurang-kurangnya 73 °C selama 15 saat.

4. Makanan yang telah dimasak hendaklah dipanaskan dengan sempurna. Bagi memastikan makanan disediakan dan dimasak dengan sempurna suhu memainkan peranan yang sangat penting.

Semasa menghidangkan makanan, hidangan hendaklah sentiasa panas (melebihi 60 °C). Manakala makanan yang telah dimasak tidak boleh ditinggalkan pada suhu bilik lebih dari 2 jam.

Namun begitu harus diingat makanan yang disimpan di dalam peti sejuk tidak boleh disimpan terlalu lama atau melebihi 5 hari. Makanan beku tidak digalakkan untuk dinyahbeku pada suhu bilik kerana amalan ini dianggap tidak selamat.

Makanan yang perlu diingat beku boleh melalui 3 cara pilihan seperti berikut:

i. Makanan yang disejukbeku hendaklah dialihkan dahulu kebahagiaan dalam peti sejuk selama 5 jam sebelum digunakan.

ii. Makanan yang disejukbeku hendaklah dalam bungkusan yang kalis air dan diletakkan di bawah air paip yang mengalir.

iii. Makanan yang disejukbeku hendaklah dicairkan menggunakan ketuhar gelombang dan diikuti dengan masak secara terus (tanpa menangguh atau melengahkan masa).

5. Menggunakan air dan bahan mentah yang selamat. Air yang selamat adalah air yang telah dirawat dan membolehkan anda menggunakannya atau minum dengan selamat.

Bahan mentah pula perlulah segar berkhasiat dan selamat. Seperti yang diketahui sayur-sayuran dan buah-buahan adalah lebih berkhasiat sekiranya dimakan tanpa dimasak.

Oleh itu pastikan sayuran dan buah-buahan ini dibasuh sebelum dimakan. Bagi makanan yang terproses pilihlah yang selamat seperti susu yang berpasteur selain memastikan makanan yang sudah melebihi tarikh luput tidak digunakan lagi.

Kebanyakan langkah-langkah pencegahan ini menitikberatkan penjagaan kebersihan meliputi semua aspek dalam proses penyediaan makanan sehinggalah makanan dimakan.

Apa yang paling penting adakah segala amalan ini menjadi sebahagian daripada amalan harian anda?

Jadi beringatlah sebelum terkena. — EdisiRakyat.com, 1 Febuari 2017
Previous Post Next Post