Terselamat selepas berjam-jam terperangkap paras hidung dalam lumpur

SEORANG lelaki dilaporkan bernasib baik kerana masih mampu untuk terus hidup selepas terperangkap dalam lumpur berjam-jam lamanya.

Mujur walaupun keseluruhan badan dan lehernya tenggelam, namun dahi dan hidungnya masih berada di atas paras permukaan lumpur sekaligus membolehkannya untuk bernafas dan terus hidup.



Daniel Miller, 45 dikatakan terperangkap di dalam lumpur tersebut selepas jentera pengorek 'excavator' yang dikendalikannya terhumban jatuh kesan daripada hujan lebat di Charlotte Bay, New South Wales.

Miller dilapor mengambil masa 2 jam lamanya dalam keadaan hanya separuh daripada kepalanya terjulur keluar daripada permukaan lumpur, sebelum berusaha mengembalikan kekuatan untuk mengembangkan bahagian belakang badannya dan mengangkat mulut keluar daripada permukaan lumpur untuk menjerit meminta pertolongan.

Graham Nickisson, salah seorang kakitangan penyelamat daripada Westpac Rescue Helicopter berkata seorang jiran telah terdengar jeritan Miller sekitar jam 2.30pm.

Simon Black, seorang kakitangan daripada bomba dan penyelamat menceritakan detik-detik bagaimana dia menggunakan tangan kosong untuk menggali lumpur bagi mengeluarkan Miller yang ketika itu sedang dalam keadaan terperangkap.



"Hanya sebahagian daripada kepalanya yang terjulur keluar daripada lumpur, dia kelihatan tak ubah seperti seekor penyu, itulah yang boleh saya ceritakan," kata Simon.

"Kami nampak dia dalam keadaan sangat takut dan sejuk. Hypothermia juga sudah mula menyerang selain itu dia juga dalam keadaan terkejut," tambahnya lagi.

Pasukan keselamatan mengambil masa sekitar 20 minit untuk menggali sebelum Miller akhirnya berjaya dibebaskan daripada terperangkap dalam lumpur tersebut.

Kata Simon lagi, mujur lengan jentera pengorek yang dikendalikan oleh Miller mendarat dan tersangkut pada seketul batu, jika tidak tentu jentera tersebut tenggelam lebih dalam ke dalam lumpur dan menolaknya ke bawah.

Miller diterbangkan ke John Hunter Hospital, sebuah hospital yang berdekatan untuk menerima rawatan hipotermia dan kecederaan di bahagian belakang badan. — EdisiRakyat.com, 9 Februari 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post