Ads Top

Bayi demam panas apa langkah penting perlu anda buat

DEMAM panas jika berlaku kepada bayi anda yang berusia kurang daripada 3 bulan, memang selayaknya anda sebagai ibu bapa berasa bimbang. Namun anda tidaklah perlu terlalu khuatir jika tahu apa yang perlu dilakukan.

"Demam yang dihadapi oleh bayi dalam lingkungan umur ini mungkin petanda jangkitan bakteria yang serius sekaligus memerlukan rawatan perubatan segera," kata Dr Seth Gregory dari Mayo Clinic Health System di Amerika Syarikat.

Sebuah kajian yang dilakukan sebelum ini telah mengenal pasti bahawa 10 peratus bayi yang menghidap demam panas di antara umur 1 hari hingga 2 bulan mungkin disebabkan oleh jangkitan bakteria yang serius dan berbahaya.



Anda tidak perlu sentiasa memeriksa suhu badan bayi anda jika ia kelihatan sihat. Namun adalah penting anda sebagai ibu bapa atau penjaga untuk sentiasa memeriksa suhu badannya jika terdapat tanda-tanda penyakit ataupun anda percaya bahawa bayi anda sedang demam.

TANDA-TANDA BAYI ANDA TIDAK SIHAT

Menentukan sama ada seorang bayi itu sakit atau tidak mungkin agak susah, namun ada beberapa tanda-tanda yang dapat menunjukkan bahawa bayi anda berada dalam keadaan tidak sihat antaranya adalah seperti berikut.

1. Bayi anda kerap menangis dan gelisah — Walaupun selepas pelbagai usaha dilakukan untuk menenangkannya.

2. Sukar untuk dibangunkan daripada tidur, atau kelihatan lemah dan letih berbanding selalu.

3. Bayi anda kurang selera makan.

4. Rasa panas pada mana-mana bahagian badan apabila disentuh.

5. Terdapat tanda-tanda ruam baru pada permukaan badan.

6. Terlalu kerap muntah

7. Bayi anda mengalami batuk-batuk

8. Bayi anda bernafas lebih laju dan kelihatan sukar berbanding selalu

9. Kulit bayi anda kelihatan pucat ataupun kulit kelihatan kekuningan

CARA MENGAMBIL BACAAN SUHU BAYI BERUSIA KURANG 3 BULAN

Maksud demam dalam erti kata yang mudah difahami ialah, apabila bacaan suhu badan tunggal bayi anda mencapai 38°C ataupun lebih. Namun perlu diketahui bukan semua kaedah mengambil suhu badan bayi adalah tepat.

"Bacaan suhu yang diambil menggunakan termometer oral dan temporal (mulut) tidak dianggap sebagai kaedah mengambil bacaan yang tepat bagi bayi yang berumur kurang daripada tiga bulan. Selain itu termometer tympanic (telinga), juga tidak digalakkan sehingga bayi anda berumur 6 bulan," kata Dr Gregory.

"Pakar kanak-kanak biasanya mencadangkan pengambilan bacaan kaedah rectal (dubur) bagi mengambil bacaan suhu bayi yang berumur kurang daripada tiga bulan," katanya lagi.

Pengambilan suhu bayi dengan kaedah rectal adalah cepat, mudah, dan tepat. Untuk melakukannya anda memerlukan termometer pelbagai guna, air sejuk, dan sedikit pelincir seperti jelly.

Mulakan dengan membersihkan hujung termometer menggunakan air sejuk. Jangan sekali-kali gunakan air panas kerana ia akan mengganggu bacaan suhu.

Kemudian sapukan sedikit pelincir di hujung termometer tersebut, (pada bahagian yang akan dimasukkan ke dalam rectum). Letakkan bayi anda dalam keadaan berbaring, dan angkat kedua-dua kakinya ke mendakap dada.

Masukkan hujung termometer antara setengah hingga satu inci ke dalam bukaan dubur, dan tunggu buat seketika sehingga termometer mengeluarkan isyarat 'beep' sebelum mengeluarkannya. Jika bacaan yang diperolehi 38°C ataupun lebih, itu tandanya baik anda menghidap demam.

Sekiranya anda dapati bayi anda demam, kata Dr Gregory, "Langkah seterusnya ialah membawa bayi anda tempat rawatan kecemasan yang berhampiran. Sekiranya terdapat penyakit sirius yang menyebabkan anak anda demam, diagnosis dan rawatan segera akan membantu anak anda untuk segera sembuh,"

Di tempat rawatan kecemasan, seperti hospital, pasukan perubatan akan menjalankan pemeriksaan fizikal dan melakukan satu siri ujian-ujian bagi mengenalpasti sebab-sebab serius yang mengakibatkan anak anda demam.

Antara ujian-ujian itu ialah,

1. Ujian air kencing, — untuk mengesan sekiranya ada jangkitan pada buah pinggang

2. Ujian darah — untuk mengesan jangkitan pada darah dan juga tanda-tanda jangkitan di tempat lain.

3. X-ray dada — untuk memeriksa sekiranya ada jangkitan pada paru-paru

4. Pengambilan cecair tulang belakang (Lumbar punture) — untuk memeriksa penyakit meningitis.

"Kebiasaannya, bayi yang berusia 2 bulan atau kurang jika menghidap demam akan ditempatkan pada jangka masa tertentu di hospital sehinggalah punca demam diketahui dan dapat diuruskan dengan baik," kata Dr Gregory

"Ingat, demam pada bayi yang berusia 3 bulan atau kurang adalah satu perkara besar. Pastikan anda memeriksa suhu rectal (dubur) dan jika suhunya 38°C atau lebih, anakanda perlu diberi rawatan secepat mungkin," tegasnya. — EdisiRakyat.com, 1 Mac 2017

No comments:

Powered by Blogger.