Cubaan jual dadah untuk cukupkan bajet kahwin gagal, sepasang kekasih ditahan

CUBAAN sepasang kekasih untuk menyeludup dan menjual dadah ke Danok, Thailand untuk mencukupkan perbelanjaan perkahwinan tidak berjaya apabila mereka di tahan oleh pegawai dari Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) pada 13 April lalu.



Menurut sember, lelaki berusia 24 tahun itu dikatakan merupakan seorang anak polis dan merupakan pengurus kepada sebuah pasaraya di Pulau Pinang ditahan bersama tunangnya, 23 tahun bersama seorang lagi perempuan di KM 1.3 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Changlun.

Pihak berkuasa menemui dadah yang dianggarkan bernilai RM10,000 di dalam kereta mereka, termasuk Eramin 5 dan pil ecstasy, syabu, serta beberapa paket ganja.

Menurut sumber itu lagi, berdasarkan dokumen perjalanan mereka, ketiga-tiga suspek merancang untuk memasuki Danok secara sah untuk menjual dadah.

Mereka ditangkap sebelum berjaya menyeberangi sempadan. Suspek telah merancang untuk menggunakan wang itu untuk menampung perbelanjaan perkahwinan mereka, yang dijadualkan pada tahun ini. Ketiga-tiga mereka yang berasal dari Georgetown dan telah mendapat bekalan dadah daripada seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Mid, di bandar Sungai Dua.

Komander AKSEM Bukit Kayu Hitam Mohd Khairi Abdullah mengesahkan penahanan itu dan berkata kes itu telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik untuk tindakan lanjut.

Ketiga-tiga mereka sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. — EdisiRakyat.com, 20 April 2017


Post a Comment

Previous Post Next Post