Gemuk boleh menjadi punca penyakit kanser hati

MENURUT satu kajian yang dijalankan di Sweeden, lelaki yang mempunyai berat badan berlebihan cenderung dua kali ganda berisiko menghidap penyakit hati.




Menurut penyelidik yang membuat laporan di jurnal Gut,  lelaki muda yang menghidap diabetis jenis-2, cenderung 3.3 kali ganda menghidap penyakit hati ketika menjangkau usia pertengahan.

Kajian terdahulu menunjukkan bahawa  diabetis meningkatkan risiko penyakit hati dan penyakit kanser hati tetapi kajian sekarang menunjukkan bahawa berat badan merupakan satu faktor yang mempengaruhi penyakit itu.

Menurut Dr. Hannes Hagstrom, ketua yang menjalankan kajian di pusat penyakit penghadaman di Universiti Karolinska, BMI( body mass index) pada peringkat permulaan hidup seorang lelaki dikaitkan dengan penyakit hati yang teruk di kemudian hari, dimana ia tidak dikaitkan dengan pengambilan alkohol ataupun virus hepatitis.

Menurutnya lagi, ketika membuat pemeriksaan berjadual ke atas pesakit, pesakit yang mempunyai diabetis jenis-2, walaupun tidak mempunyai badan yang gemuk tetap berisiko terkena penyakit hati.

Kumpulan penyelidik membuat kajian dan menganalisa data daripada 1,220,261 orang lelaki yang menyertai askar Sweeden dari tahun 1969 hingga tahun 1996 yang berumur antara 17 hingga 19 tahun pada waktu itu.

Dengan menggunakan pendaftaran di bawah Kesihatan Kebangsaan, penyelidik mengikuti perkembangan lelaki-lelaki ini sehingga tahun 2012.

Penyelidik membahagikan lelaki-lelaki ini mengikut BMI. Kebiasaannya BMI antara 18.5 hingga 24.9 dianggap sebagai berat yang normal manakala BMI antara 25 hingga 29.9 dianggap sebagai berlebihan berat badan. BMI 30 hingga 39.9 dianggap obesiti, manakala BMI 40 ke atas dianggap obesiti melampau.

Dalam pengajian sekarang, penyelidik mengurangkan julat berat normal iaitu BMI antara 18.5 hingga 22.5 dan menggunakan kumpulan lelaki ini sebagai asas untuk perbandingan yang lain.

Dari laporan penyelidik pada waktu itu, purata BMI adalah 21.5 dan 100 000 orang lelaki mempunyai berat badan berlebihan, dan 20 000 lagi dikategorikan sebagai obesiti.

Tetapi menurut penyelidik, mereka menyedari kadar obesiti bertambah daripada waktu penyelidikan awal dibuat di mana pada tahun 1969, dianggarkan kira-kira 6% dari kumpulan itu mempunyai berat badan berlebihan dan kurang 1% yang obesiti tetapi pada tahun 1996, 12% lelaki muda mempunyai berat badan berlebihan dan lebih kurang 3% yang obesiti.

Sepanjang pemerhatian, 5,281 orang menghidapi penyakit hati termasuk Cirrhosis, dan kegagalan fungsi hati, dan 251 didiagnosis menghidap kanser hati.

Apabila dibandingkan dengan kumpulan lelaki yang mempunyai BMI kurang daripada 22.5 pada garis dasar, risiko penyakit hati meningkat apabila BMI bertambah di mana lelaki yang berada di kategori berlebihan berat badan mempunyai risiko sebanyak 50% diserang penyakit itu dan lelaki obesiti dua kali ganda berisiko.

Ini tidak termasuk lelaki yang didiagnosis mempunyai penyakit hati disebabkan pengambilan alkohol. Walaupun ada perbandingan kesan pengambilan alkohol dan kegemukan mempengaruhi risiko penyakit hati, tetapi kesan dari kegemukan tetap lebih tinggi berbanding pengambilan alkohol.

"Walaupun kita tidak boleh tahu dengan begitu pasti, kita membuat spekulasi bahawa kumpulan ini mendapat penyakit hati dari lemak tidak beralkohol, dan ini dalam beberapa kes membawa kepada penyakit hati yang teruk," kata Hagstrom.

Apabila merujuk kepada kanser hati, penyelidik mendapati bahawa lelaki yang mempunyai berat badan berlebihan pada garis dasar mempunyai peningkatan risiko kira-kira sebanyak 60%, manakala risiko adalah lebih daripada tiga kali ganda untuk lelaki yang obes.

Hagstrom menyatakan bahawa pakar perubatan perlu tahu bahawa lelaki remaja yang mempunyai berat badan berlebihan dan obesiti membawa kepada peningkatan risiko untuk penyakit hati yang teruk pada masa depan, dan kesedaran awal perlu diberi untuk mengurangkan risiko ini.

"Obesiti menjadi faktor risiko yang penting untuk beberapa jenis kanser dan salah satu daripadanya adalah kanser hati , "kata Karen Basen-Engquist.

"Kajian ini menunjukkan bahawa obesiti di usia remaja dikaitkan dengan risiko pada masa akan datang. Adalah penting untuk kita cuba untuk mengekalkan berat badan yang sihat sepanjang kehidupan kita, "kata Basen-Engquist, pengarah Universiti Texas MD Anderson's Centre for Energy Balance in Cancer Prevention and Survivorship in Houston.

Basen-Engquist, yang tidak terlibat dalam kajian itu, berkata "doktor dan penyelidik perlu berusaha untuk menyampaikan mesej ini kepada orang ramai kerana mereka tidak mengetahui tentang hubungan antara obesiti dan kanser. Ramai orang sedar tentang bahaya merokok yang boleh menyebabkan kanser, tetapi mereka tidak terfikir bahawa kegemukan juga boleh menyumbang kepada risiko kanser."  — EdisiRakyat.com, 11 April 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post