Kanak-kanak 4 tahun maut jatuh dari tingkat 17 pangsapuri

SEORANG kanak-kanak malang, Mohd Aqil Azizan, 4 tahun ditemui mati setelah terjatuh dari balkoni sebuah pangsapuri tingkat 17 di  kawasan perumahan Lorong Haji Hussein 2 , off Jalan Tunku Abdul Rahman sekitar jam 5.45 pagi semalam.



Menurut datuk kanak-kanak itu  yang dikenali sebagai Mat Radin, 60 tahun dipetik dalam New Straits Times sebagai berkata, ketika kejadian Aqil sedang tidur bersamanya dan bangun sendirian tidak lama kemudian.

Dia menyangka cucunya ingin bermain sorok-sorok dan tidak lama kemudian bangun mencari cucunya di seluruh bahagian rumah tapi tidak menjumpai cucunya.

Dia hanya menyedari kejadian itu apabila mereka datang mengetuk pintu rumahnya

"Saya seperti tidak boleh percaya melihat dia terbaring di atas tanah," katanya.

OCPD Dang Wangi, Asst Comm Mohd Sukri Kaman berkata, siasatan menunjukkan tiada unsur jenayah.

"Dua kerusi didapati diletakkan pada pintu balkoni, yang kami percaya telah digunakan oleh kanak-kanak itu untuk memanjat ke balkoni sebelum dia jatuh.

"Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Bapa kanak-kanak malang itu yang ditemui oleh sumber di luar bilik mayat Hospital Kuala Lumpur semalam kelihatan sangat terpukul dan sedih dengan kematian anaknya.

"Dah terlalu banyak ... terlalu banyak ujian dari Tuhan," kata Mohd Azmil Amat, 31, sambil dia mengesat air mata.

Kehidupan keluarga itu mula bertukar mendung sejak enam tahun lalu.

Tidak lama selepas anak perempuan Mohd Azmil dilahirkan, ibunya meninggal dunia.

Perniagaan restorannya di Tanjung Malim semakin merosot dan terpaksa ditutup.

Bukan itu sahaja, anak perempuannya kemudiannya disahkan menghidap masalah jantung dan perlu menjalani pembedahan.

Ketika pasangan suami isteri itu sibuk menguruskan anaknya di Institut Jantung Negara, satu lagi dugaan hebat datang di mana dia kehilangan anaknya dalam keadaan yang tragis.

Jenazah Mohd Aqil akan dibawa ke kampung halamannya di Tanjung Malim untuk dikebumikan. — EdisiRakyat.com, 18 April 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post