Sukar tidur malam, anda berisiko terkena serangan jantung dan strok

SATU penyelidikan yang diadakan secara besar-besaran mendapati bahawa individu yang mengalami insomnia berisiko mengalami serangan jantung dan strok.

Kajian yang diketuai oleh Qiao He dari Universiti Perubatan China di Shenyang menganalisa 15 kajian dan melakukan tindakan susulan selama 2 tahun melibatkan 160, 867 orang.

Terdahulu terdapat satu kajian yang menunjukkan kaitan antara insomnia yang mempengaruhi tahap kesihatan tetapi pada waktu itu keputusan hubungan antara insomnia menyebabkan penyakit jantung dan strok adalah tidak konsisten.

Kumpulan ini menjalankan satu kajian baru untuk mengesan hubungan antara gejala insomnia seperti sukar tidur, mengekalkan tidur, kebangkitan di awal pagi, tidak cukup tidur dengan kematian akibat penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung, penyakit koronari, kegagalan fungsi jantung dan strok atau gabungan kedua-duanya.



Hasil kajian mendapati risiko serangan jantung dan strok dipengaruhi sebanyak 27% oleh mereka yang sukar untuk tidur, 11% bagi mereka yang yang sukar tidur lena dan 18% bagi mereka yang tidak cukup tidur  berbanding mereka yang tidak mengalami masalah insomnia.

Walaubagaimanapun tiada sebarang risiko dapat dikesan bagi mereka yang bangun di awal pagi.

Tidur adalah penting untuk pemulihan biologi tubuh dan kita menghabiskan masa lebih kurang satu pertiga daripada hidup kita untuk tidur.

"Malangnya, dalam zaman yang serba moden ini, ramai orang mengalami masalah insomnia. Menurut satu kajian yang dijalankan di Jerman sebagai contoh, dilaporkan bahawa kira-kira satu pertiga daripada penduduknya mengalami gejala insomnia", kata Qiao He.

"Kajian terdahulu menunjukkan bahawa insomnia boleh mengubah metabolisme dan fungsi endokrin, meningkatkan pengaktifan 'sympathetic", meningkatkan tekanan darah, dan meningkatkan tahap proinflammatory dan radang sitokinin.

Semua ini merupakan faktor yang meningkatkan risiko untuk penyakit kardiovaskular dan strok," jelas beliau.

Beliau menambah bahawa wanita lebih cenderung untuk menghidap insomnia kerana perbezaan genetik, hormon perempuan, stress dan tindak balas tubuh kepada tekanan.

Beliau menasihati orang ramai lebih-lebih lagi kaum wanita yang mempunyai masalah tidur agar mendapatkan nasihat doktor untuk mengelakkan masalah kesihatan yang lebih teruk iaitu strok dan serangan jantung secara tiba-tiba..

Hasil kajian tersebut telah diterbitkan dalam 'European Journal of Preventive Cardiology'. — EdisiRakyat.com, 15 April 2017

Post a Comment

Previous Post Next Post